Sabtu, 20 November 2021 | 10:39pm
Ahmad Zahid ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Ayer Keroh. FOTO NSTP
Ahmad Zahid ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Ayer Keroh. FOTO NSTP

BN janji perkenal enakmen anti lompat parti

MELAKA: Barisan Nasional (BN) memberi komitmen untuk memperkenalkan enakmen anti lompat parti serta meminda peruntukan undang-undang berkaitannya untuk menangani isu lompat parti dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka.

Komitmen itu dizahirkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas BN berjaya membentuk kerajaan Melaka, dengan memenangi 15 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Komitmen lain kata beliau, gabungan itu akan mengusulkan kerjasama antara ADUN untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal untuk tempoh empat tahun dari hari pertama bersidang.

"BN juga akan memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan dalam sidang DUN untuk membolehkan ADUN memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan dasar," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Ayer Keroh, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, BN juga akan memperkenalkan undi percaya konstruktif untuk memastikan sebuah kerajaan yang tidak menjadi 'percaturan' pihak tertentu.

"Memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan DUN untuk membolehkan semua ADUN membuat peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang dan dasar, bagi memenuhi semak dan imbang.

"Ia termasuk mengusulkan peruntukan dan kebajikan kepada semua ADUN yang akan diputuskan dalam sebuah jawatankuasa dipengerusikan Speaker DUN dan Ketua Menteri," katanya.

Mengulas kemenangan BN dalam PRN Melaka, Ahmad Zahid berkata, kemenangan dicapai amat besar ertinya dan ia isyarat rakyat begitu mahukan kestabilan politik.

"Kejayaan yang sudah diberikan kepada BN akan dibalas oleh BN dengan memberikan perkhidmatan terbaik serta melaksana segala janji dalam manifesto BN.

"Dengan kemenangan ini, BN mengiktiraf keinginan rakyat yang mahukan kestabilan politik supaya kembali kepada Melaka. Kita akan terjemahkan kestabilan politik ini di seluruh negara," katanya.

Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di

https://www.myundi.com.my

Berita Harian X