Sabtu, 20 November 2021 | 7:52pm
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Polis puas hati PRN berjalan lancar

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung dalam keadaan aman tanpa ada sebarang pergaduhan mahupun provokasi yang menggugat ketenteraman awam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata, tiada laporan polis diterima berkaitan pergaduhan, provokasi dan situasi yang boleh mencetuskan perbalahan besar.

Beliau berkata, perjalanan PRN Melaka adalah teratur dan sistematik selain kematangan yang ditunjukkan oleh parti bertanding dan juga pengundi.

"Secara amnya keadaan keselamatan aman dan terkawal, menunjukkan bahawa kematangan orang yang datang mengundi dan parti politik.

"Setakat ini 13 laporan polis diterima termasuk dua berkaitan kes COVID-19, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram membabitkan kes positif dan di SK Brisu membabitkan kontak rapat, namun kedua-dua kes ini dapat ditangani segera oleh SPR dan Kementerian Kesihatan," katanya.

Sementara itu, Abdul Majid berkata, sejumlah anggota dengan kekuatan paling maksimum turut digerakkan untuk mengawal keselamatan menjelang pengumuman keputusan PRN malam ini.

"Saya ingin mengingatkan apabila pengumuman dibuat oleh SPR mengenai parti politik yang dapat membentuk kerajaan, penyokong dinasihatkan tidak membuat perarakan atau perhimpunan bagi meraikan kerana takut aktiviti ini boleh mencetuskan provokasi dan menyebabkan ketidaktenteraman.

"Polis sudah membuat persiapan rapi dan beberapa pasukan keselamatan, khususnya Pasukan Gerakan Am kita gunakan untuk memastikan keselamatan terjamin. Kita juga ada satu pasukan 'High Risk Team' yang bersedia jika berlaku sebarang ancaman kepada orang kenamaan," katanya.

Berita Harian X