Sabtu, 20 November 2021 | 7:48pm
Petugas SPR, Madinah Md Sari, 34 memastikan pengundi memakai cecair sanitasi pada tangan sebelum dibenarkan masuk ke bilik mengundi pada PRN Melaka di Pusat Mengundi SMK Cannosa Convent, Melaka. FOTO NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Petugas SPR, Madinah Md Sari, 34 memastikan pengundi memakai cecair sanitasi pada tangan sebelum dibenarkan masuk ke bilik mengundi pada PRN Melaka di Pusat Mengundi SMK Cannosa Convent, Melaka. FOTO NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Pengundi akui proses mengundi lancar, selamat

MELAKA: Proses mengundi yang ringkas, mudah dan selamat antara maklum balas disuarakan pengundi selepas mereka menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Walaupun mengundi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, semua pengundi mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi Hazizi Mohd Rani, 28, beliau menjangkakan proses pengundian mungkin menyulitkan, namun selepas melaluinya bermula di pintu masuk, pemeriksaan suhu badan, semakan saluran mengundi dan ke bilik mengundi semuanya lancar dan selamat.

Hazizi Mohd Rani. FOTO NSTP/NAZRI ABDU BAKAR
Hazizi Mohd Rani. FOTO NSTP/NAZRI ABDU BAKAR

"Laluan masuk dan keluar yang jelas serta sistematik memberi keselesaan untuk orang ramai mengundi.

"Kebimbangan orang ramai untuk keluar mengundi seharusnya tidak berlaku kerana semuanya terkawal walaupun pelbagai pandangan awal yang curiga dan bimbang," katanya, hari ini.

Katanya, pujian harus diberikan kepada SPR yang berjaya mengendalikan perjalanan pengundian dengan tersusun dan baik.

"Apapun kami mengharapkan tiada kluster baharu selepas pengundian hari ini, termasuk ketika berkempen sebelum ini," katanya yang mengundi di Sekolah Agama Jabatan Agama Islam (JAIM ) Paya Datuk, Alor Gajah.

Sementara itu, Mohd Ammar Mohd Puad, 28, berkata dia gembira kerana warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dibantu dalam semua aspek sehingga ke tempat mengundi.

Mohd Ammar Mohd Puad. FOTO NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Mohd Ammar Mohd Puad. FOTO NSTP/NAZRI ABU BAKAR

"PRN Melaka wajar menjadi contoh kepada PRN negeri lain atau pilihan raya umum (PRU) kelak," katanya.

Petugas SPR di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, Idham Ramli, 20, berkata SOP terkawal dipantau Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi keselamatan serta semua petugas.

Idham Ramli. FOTO NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Idham Ramli. FOTO NSTP/NAZRI ABU BAKAR

"Saya gembira dapat berkhidmat buat kali pertama, sekali gus berbakti kepada orang ramai dan masyarakat," katanya.

Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my

Berita Harian X