Sabtu, 20 November 2021 | 6:48pm

Saingan sengit BN, PN di beberapa kerusi

MELAKA: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersaing sengit dalam kiraan awal jumlah undi tidak rasmi di beberapa kerusi.

PN dilihat mendahului di DUN Sungai Udang dengan memperoleh 1,706 undi setakat 6.30 petang, manakala BN pula mendapat 1,159 undi selepas sembilan daripada 48 saluran mengundi selesai dikira.

Dr Mohd Aleef Yusof dipertaruhkan PN bagi kerusi berkenaan, manakala calon BN pula adalah Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Melaka merangkap Timbalan Speaker Dewan Negara.

Dua lagi calon dalam pertembungan empat penjuru di Sungai Udang adalah Hasmorni Tamby daripada Pakatan Harapan (PH) serta calon Bebas, Mohd Zahar Hashim. DUN Sungai Udang merekodkan jumlah pengundi awal tertinggi, majoriti membabitkan tentera dan pasangan.

Kiraan tidak rasmi setakat tempoh sama juga menyaksikan PN yang dianggotai BERSATU, PAS dan GERAKAN turut mendahului di DUN Bukit Katil dan Bemban, manakala BN mendahului di DUN Ayer Keroh dan Ayer Limau.

DUN Bukit Katil ditandingi Datuk Wira Hasnoor Sdg Husin menentang bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari daripada PH dan Muhammad Al Afiz Yahya mewakili PN.

DUN Bemban membabitkan pertembungan tiga penjuru di antara BN yang diwakili calon MCA, Datuk Koh Chin Han, PH melalui Datuk Tey Kok Kiew daripada DAP dan calon PN, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

DUN Ayer Keroh menyaksikan calon BN, Yong Fun Juan ditentang Kerk Chee Yee daripada PH dan Datuk Seri Michael Gan Peng Lam mewakili PN, manakala DUN Ayer Limau ditandingi Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN), Mazenah Baharuddin (PH) serta Dr Nordina Abd Latif (PN).

Ikuti portal mini BH di https://www.bharian.com.my/prn-melaka-2021/index.html dan di https://www.myundi.com.my

Berita Harian X