Sabtu, 20 November 2021 | 5:54pm

Pengundian tamat, proses kira undi bermula

MELAKA: Proses mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, tamat secara rasmi selepas semua 217 pusat pengundian di seluruh negeri itu ditutup pada jam 5.30 petang tadi.

Pengundian berlangsung selama sembilan jam 30 minit sejak jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 476,037 daripada 495,195 pengundi berdaftar menjalankan tanggungjawab mengundi wakil rakyat di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, semua kertas undi akan dikira terlebih dulu, sebelum peti undi daripada 1,109 saluran dibawa ke 28 pusat penjumlahan undi di seluruh negeri ini.

Keputusan rasmi PRN Melaka dijangka diumumkan malam ini oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam.

Pada 16 November lalu, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

Secara keseluruhan, jumlah pusat mengundi bagi PRN Melaka ialah 248 dengan 1,156 saluran.

Seramai 112 calon bertanding dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Berita berkaitan:

  • LANGSUNG proses pengundian PRN Melaka
  • Mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka
  • Anggota polis menutup pintu pagar pusat mengundi SMK Cannosa Convent, Melaka tepat pada jam 5.30 petang pada Pilihan Raya Negeri (PRN). FOTO NSTP/SYAFEEQ AHMAD
    Anggota polis menutup pintu pagar pusat mengundi SMK Cannosa Convent, Melaka tepat pada jam 5.30 petang pada Pilihan Raya Negeri (PRN). FOTO NSTP/SYAFEEQ AHMAD
    Berita Harian X