Sabtu, 20 November 2021 | 3:56pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

KKMM, MDEC pacu MSC 2.0 lonjak ekonomi digital negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memacu pembangunan MSC 2.0 untuk melonjakkan ekonomi digital negara dan menarik lebih banyak pelaburan digital.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Nasional Keempat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

"Keputusan itu tepat pada masanya dan relevan. Ketika Malaysia dalam proses keluar dari pandemik COVID-19, penambahbaikan MSC Malaysia sangat penting untuk menuju ke arah pemulihan ekonomi negara selaras Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, MSC 2.0 bertujuan mengembangkan sektor fokus digital ke seluruh negara dan memangkinkan bidang pembangunan baharu untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, ia juga bagi menyokong dan mempromosikan penggunaan digital yang meluas, merentasi semua aktiviti ekonomi di Malaysia dan merapatkan jurang digital ke arah pengagihan kekayaan saksama.

Katanya, MSC Malaysia yang juga antara tonggak utama ekonomi digital negara ditubuhkan pada 1996 untuk membangunkan ekosistem ekonomi digital yang kondusif menerusi pemupukan juara ICT tempatan dan menarik pelaburan global.

"Inisiatif itu juga membantu mempromosikan adaptasi digital di Malaysia dan meningkatkan jumlah bakat berkemahiran negara.

"MSC 2.0 turut membabitkan penambahbaikan insentif dan Rang Undang-Undang Jaminan, penjenamaan baharu serta peluasan lokasi untuk MSC mempromosikan aktiviti di seluruh negara.

"KKMM dan MDEC akan bekerjasama dengan semua kementerian, agensi dan industri untuk membangunkan MSC 2.0 yang lebih progresif, inklusif serta mampan," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X