Sabtu, 20 November 2021 | 3:51pm
Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria pada majlis pelancaran Wakaf ASNB secara maya malam tadi.
Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria pada majlis pelancaran Wakaf ASNB secara maya malam tadi.

PNB lancar Wakaf ASNB

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB), menerusi syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), melancarkan perkhidmatan Wakaf ASNB malam tadi.

Melalui perkhidmatan terbaharunya itu, pelabur boleh mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat kepada komuniti secara berterusan.

Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria, berkata perkhidmatan itu yang telah diperkenalkan pada bulan lalu bertujuan memudahkan pelabur bersedekah dengan unit amanah di ASNB secara berterusan setiap tahun, walaupun setelah meninggal dunia nanti.

Perkhidmatan Wakaf ASNB menyatukan konsep pelaburan dunia dan akhirat yang mana pelabur boleh mewakafkan unit aman mereka untuk manfaat berterusan kepada komuniti.

"Wakaf ASNB berkonsepkan 'muabbad' iaitu wakaf berkekalan yang menyimpan dan melabur modal dana wakaf bagi mendapatkan pulangan setiap tahun.

"Pulangan ini pula kemudiannya akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.

"Dengan Wakaf ASNB, pewakaf layak mendapat potongan cukai pendapatan. Ia (juga) adalah pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB yang merangkumi bermacam bentuk pelaburan untuk mencapai matlamat pelaburan yang berbeza-beza dalam kehidupan seorang pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Wakaf ASNB secara maya malam tadi bersempena Minggu Saham Digital (MSD) 2021.

Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria pada majlis pelancaran Wakaf ASNB secara maya malam tadi.
Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria pada majlis pelancaran Wakaf ASNB secara maya malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Mengulas lanjut Arifin berkata, bagi memudahkan urusan harta pusaka, ASNB turut menyediakan kemudahan pewarisan melalui hibah amanah serta pengisytiharan amanah.

Dengan adanya Wakaf ASNB kini, PNB telah meliputi semua keperluan pelabur hingga ke peringkat membantu pelabur meneruskan amal kebajikan masing-masing hingga ke akhirat.

"Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima aksih kepada MAIWP yang telah melantik ASNB sebagai 'Mutawalli' atau pentadbir aset wakaf.

"Pelantikan ini membolehkan anak syarikat ASNB iaitu ASNB Wakallah Sdn Bhd mengurus dan mentadbir dana wakaf secara menyeluruh daripada mengumpul dana, mengurus pelaburan serta memilih dan menyalurkan pulangan pelaburan yang telah diwakafkan secara telus dan lancar kepada projek-projek wakaf yang diluluskan bagi pihak pewakaf.

"Selaku syarikat pengurusan unit amanah yang pertama memperkenalkan wakaf unit amanah, semua tadbir urus perkhidmatan akan dilakukan oleh kakitangan profesional kami bagi memastikan aset wakaf dikendali dengan amanah dan telus," katanya.

Sebagai pengurus dana yang berpengalaman, PNB komited untuk memastikan dana wakaf pelabur dapat mengagihkan pulangan pelaburan yang berterusan dan konsisten.

"Ini amat penting supaya dana wakaf mampu memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan menerusi projek wakaf dalam sektor yang telah ditetapkan.

"Suka untuk saya maklumkan di sini bahawa pemilihan projek wakaf akan ditentukan bersama oleh ahli jawatankuasa (AJK) bersama pengagihan Wakaf ASNB yang terdiri daripada pentadbir aset iaitu ASNB Wakaf, MAIWP dan ahli bebas.

"AJK ini bertanggungjawab menilai dan menguruskan pemilihan projek wakaf yang bersesuaian dan menepati kriteria ditetapkan serta menasihati pengurusan berkaitan isu hukum seperti kepatuhan syariah, polisi program dan tadbir urus dana wakaf.

"Jawatankuasa ini akan memastikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh pewakaf kepada kami dilaksanakan dengan baik dan penuh integriti," katanya.

Kini semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB berbilang kaum boleh mewakafkan unit amanah mereka menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB di semua cawangan ASNB seluruh negara.

Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 mulai 1 Disember 2021.

Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam, dan 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan Wakaf ASNB, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 atau layari laman web Wakaf ASNB.

Berita Harian X