Sabtu, 20 November 2021 | 2:00pm

Pilih agensi pelancongan umrah berautoriti, elak ditipu

KOTA BHARU: Orang ramai dinasihat memeriksa latar belakang agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah dengan harga rendah bagi mengelak ditipu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini kerana terdapat kecenderungan orang ramai yang mudah percaya dengan pakej harga rendah tetapi akhirnya menjadi mangsa sindiket penipuan.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mahu mengerjakan umrah memilih agensi pelancongan yang mempunyai autoriti untuk menguruskan perjalanan ibadah terbabit.

"Setakat ini harga menjadi rebutan (iaitu) makin rendah makin menjadi pilihan masyarakat di luar dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah menetapkan harga lantai paling murah iaitu RM6,900 untuk mengerjakan umrah.

"Oleh demikian, kita meminta masyarakat supaya memilih agensi pelancongan berdaftar dan sah dengan kerajaan supaya mereka tidak menjadi mangsa kepada penipuan umrah dan sebagainya.

"Kita tahu (sebelum ini) ada sebahagian mereka sudah terkena dengan sindiket yang tidak berautoriti untuk melaksanakannya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ahmad Marzuk, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa kes berbangkit dalam pengoperasian umrah sejak ibadah itu kembali dibenarkan bulan lalu.

Terdahulu, beliau hadir di Lembaga Tabung Haji (TH) di sini sempena majlis serahan Program TH Prihatin yang berlangsung serentak hari ini di Perak serta Kelantan.

Secara keseluruhannya, seramai 1,620 peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di seluruh negara terpilih untuk menerima bantuan itu.

Beliau berkata, seramai 180 peniaga kecil setiap negeri membabitkan sembilan negeri dipilih dengan masing-masing menerima bantuan 'one-off' RM500 untuk meringankan beban masing-masing.

"Program zakat ini membabitkan peruntukan berjumlah RM810,000 dan ia adalah sebahagian cara untuk kita beri semangat kepada penerima untuk pulihkan kembali perniagaan mereka yang terjejas," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada sebahagian 180 orang peniaga kecil yang terkesan pandemik COVID-19 sempena majlis serahan Program TH Prihatin di Dewan Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada sebahagian 180 orang peniaga kecil yang terkesan pandemik COVID-19 sempena majlis serahan Program TH Prihatin di Dewan Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X