MELAKA: Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mencuri tumpuan ketika muncul di pusat mengundi di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam.
Dengan bermotosikal skuter Suzuki V100, bekas EXCO Melaka itu bersahaja ketika tiba seorang diri di pusat mengundi berkenaan kira-kira jam 9.10 pagi tanpa diiringi pengiring atau penyokong.
Penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu itu kemudian mengundi di saluran tiga sebelum meluru keluar, menaiki semula motosikal dan beredar.
Beliau yang lebih popular dengan gelaran `YB Beliau' bagaimanapun sempat memberikan reaksi apabila ditanya peluangnya untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.
"Insya-Allah, boleh," katanya ringkas sebelum beredar.
Norhizam berdepan saingan lima penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Nordin; Mohd Azrudin Md Idris (PN); Muhammad Danish Zainudin (PH) dan Dr Aluwi Sari PUTRA).