Sabtu, 20 November 2021 | 11:53am

Kajian buktikan dos penggalak selamat

PUTRAJAYA: Orang ramai yang bimbang berlaku kejadian 'terlebih dos' apabila mengambil dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19, perlu melihat kajian dan data tersedia mengenai keberkesanan vaksin berkenaan.

Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Makmor Bakry, berkata orang awam perlu memahami ada dua kesan membabitkan pengambilan vaksin iaitu kesan sampingan yang biasa seperti sakit di tempat suntikan, demam atau kelesuan yang sepatutnya tidak menyebabkan maut, manakala kesan mudarat selalunya tidak dijangka dan sangat jarang berlaku.

Beliau berkata, kesan mudarat termasuk penerima vaksin mengalami alahan teruk yang boleh memburukkan keadaan selalunya berlaku dalam tempoh singkat iaitu antara 15 hingga 30 minit selepas suntikan diberikan.

"Daripada data dikutip, secara umum penggunaan vaksin sentiasa dipantau dan sebarang kesan mudarat akan dilihat dari semasa ke semasa.

"Berdasarkan data dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), tidak ada beza antara kesan selepas mengambil dos pertama, kedua dan penggalak atau ketiga," katanya kepada BH, semalam.

Mengulas kes kematian mereka yang menerima dos penggalak termasuk dakwaan membabitkan seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Mohd Makmor berkata, mangsa mengambil dos penggalak pada 9 November dan kematiannya berlaku lebih seminggu selepas itu.

Beliau berkata, jika cuba dikaitkan dengan pengambilan dos penggalak sekali pun, ia mungkin tipis kerana kebanyakan kesan mudarat berlaku dalam tempoh singkat selepas dos vaksin diterima dan meminta semua pihak menunggu hasil siasatan KKM mengenainya.

Ditanya keraguan sesetengah pihak mengenai hasil kajian di Chile dan Thailand yang menjadi asas kepada keputusan pemberian dos penggalak di negara ini, Dr Mohd Makmor berkata, kajian membabitkan dos penggalak dan dos ketiga dijalankan di beberapa tempat dan negara yang keputusannya hampir sama antara satu dengan lain.

Justeru, beliau berkata, hasil kajian itu boleh dipercayai, selain ia turut dinilai jawatankuasa khas dalam Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Selain itu, beliau berkata, anggapan masyarakat bahawa KKM sengaja atau 'suka-suka' memberi vaksin kepada orang ramai juga tidak berasas kerana pegawai dan kakitangan KKM sendiri mengambilnya serta menyarankan ahli keluarga mereka disuntik dengan vaksin.

Sementara itu, pensyarah di Kluster Infektomik, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Kumitaa Theva Das, berkata ada beberapa kes dilaporkan di luar negara membabitkan individu menerima suntikan vaksin yang terlebih dan mereka hanya menunjukkan kesan sampingan sama dengan pemberian dos normal.

Selain itu, beliau berkata, tidak ada data menunjukkan seseorang boleh terlebih dos dengan vaksin, justeru dos penggalak tidak akan menyebabkan seseorang terlebih dos.

"Sebelum ini ada kebimbangan jika seseorang pernah dijangkiti sebelum ini, mereka mungkin boleh terlebih dos dengan vaksin dan mempunyai terlalu banyak antibodi dalam tubuh.

"Ia tidak benar kerana imuniti yang terbina daripada jangkitan boleh berkurangan, jadi vaksin diperlukan untuk melindungi kita daripada jangkitan di masa depan terutama daripada varian Delta," katanya.

Mengulas sama ada dos penggalak atau dos ketiga diberikan itu bersesuaian, Dr Kumitaa berkata, pemberian dos vaksin berbeza keluaran (vaksinasi heterologous) sudah berlaku seawal Mac di beberapa negara dan penerima vaksin tertentu yang ditawarkan vaksin jenis lain untuk dos kedua membuktikan ia selamat, malah lebih melindungi penerimanya.

Beliau berkata, sejak itu, banyak kajian dijalankan untuk melihat keselamatan dan keberkesanan vaksinasi heterologous termasuk ketahanan terhadap varian Delta.

Katanya, antara negara menjalankan kajian itu adalah Sweden membabitkan lebih 10,000 penduduknya menerima vaksin AstraZeneca sebagai dos pertama dan dos kedua sama ada Pfizer atau Moderna.

"Kajian Sweden ini menunjukkan, berbanding individu tidak divaksinasi, mereka yang mendapat campuran vaksin didapati 68 peratus kurang kemungkinan mengalami jangkitan simptomatik dan mereka yang menerima dua dos AstraZeneca 50 peratus kurang mendapat jangkitan sama.

"Satu kajian bebas di Denmark menunjukkan hasil hampir sama dengan Sweden. Ia menunjukkan campuran dua vaksin adalah selamat dan sangat melindungi," katanya.

Dr Kumitaa berkata, banyak negara termasuk Chile dan Thailand, turut menjalankan kajian pelbagai jenis vaksin untuk mencari perlindungan lebih baik terhadap jangkitan COVID-19 serta varian Delta dan imuniti yang berkurangan.

"Satu kajian dijalankan Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji campuran vaksin COVID-19 terhadap beratus pesakit mendapati semua dos penggalak meningkatkan titer antibodi peneutral terhadap varian Delta, tidak kira apa jenis penggalak atau vaksin utama digunakan dan setakat ini, belum ada kebimbangan terhadap keselamatan dibangkitkan," katanya.

Berita Harian X