Sabtu, 20 November 2021 | 11:39am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berucap ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berucap ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kementerian Kewangan diarah selesaikan kenaikan harga baja, racun

SEKINCHAN: Kabinet mengarahkan Kementerian Kewangan menyelesaikan masalah kenaikan harga baja dan racun serta menyalurkan bantuan kepada pesawah dan petani di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Katanya, kerajaan maklum masalah kenaikan baja dan racun membabitkan industri padi dan beras negara.

"Masalah rakyat, pesawah adalah masalah kerajaan. Kita tidak biarkan hanya beban itu ditanggung bersendirian pesawah dan petani. Insya-Allah kita akan bantu," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyampaikan benih padi IS21 kepada wakil Petani ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyampaikan benih padi IS21 kepada wakil Petani ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ismail Sabri Yaakob, melawat ke ruang pameran ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ismail Sabri Yaakob, melawat ke ruang pameran ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Perdana Menteri turut melancarkan varian benih padi baharu IS21 itu.

Benih padi hasil inovasi industri padi negara dilihat mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga 67 peratus atau sembilan tan pengeluaran sehektar mengikut kawasan penanaman.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Perdana Menteri berkata, kenaikan harga baja dan racun tidak dapat dielakkan kerana kesan kenaikan harga pasaran antarabangsa.

Katanya, ini kerana kebanyakan baja dan racun adalah diimport walaupun ada syarikat tempatan termasuk koperasi pesawah yang terbabit dalam industri itu.

"Ini kerana bahan mentah masih diimport. Jika mahal harga bahan mentah dari negara pengeluar, maka mahal harga import dan beri kesan kepada negara kita," katanya.

Sementara itu, mendukung aspirasi Keluarga Malaysia, Bajet 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober lalu memperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi.

Katanya, peruntukan itu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kira-kira 300,000 pesawah di seluruh negara, dengan mengurangkan kos mereka sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi.

"Kerajaan juga sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur, bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.

"Pendekatan ini dijangka berupaya mewujudkan persekitaran industri kawal selia kendiri, seterusnya mengurangkan pembabitan serta pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi," katanya.

Perdana Menteri juga berharap jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dalam pengeluaran makanan negara dapat bekerjasama bagi memastikan sekuriti dan kemampanan makanan negara serta kesejahteraan rakyat terjamin.

"Selain itu, saya turut mengambil kesempatan ini melahirkan rasa bangga melihat kerjasama strategik rentas kementerian di antara MOSTI serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi benih padi IS21," katanya.

Ismail Sabri berharap MOSTI akan terus tampil dengan hasil penyelidikan dan pembangunan berkualiti yang mampu melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan.

Benih padi IS21 dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia telah menerima pengiktirafan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sempena Persidangan Agung kali ke-65 agensi itu di Vienna, Austria September lalu.

Pengiktirafan yang diterima adalah bagi Anugerah Pencapaian dalam Bidang Biak Baka Mutasi Tanaman.

Benih padi IS21 ini dihasilkan bagi berdaya tahan tinggi terhadap cuaca yang tidak menentu dan mempunyai rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan pesawah.

Berita Harian X