Sabtu, 20 November 2021 | 11:24am
 Tinjauan beberapa lokasi banjir di Kampung Gual To' Deh dan Kampung Pengkalan Rakit ditenggelami air melimpah atas jalan, hari ini. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan beberapa lokasi banjir di Kampung Gual To' Deh dan Kampung Pengkalan Rakit ditenggelami air melimpah atas jalan, hari ini. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bomba tinjau lokasi banjir, nasihat penduduk waspada

RANTAU PANJANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Rantau Panjang membuat tinjauan berkala ke kawasan rendah yang dilanda banjir untuk memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak bermain air bagi mengelak insiden tidak diingini.

Tinjauan ke beberapa lokasi banjir hari ini seperti Kampung Gual To'Deh dan Kampung Pengkalan Rakit, di sini, mendapati penduduk terutama golongan kanak-kanak masih kurang peka berhubung aspek keselamatan dengan bermain air melimpah di atas jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata anggota bertugas meninjau tiga kali sehari ke kawasan tumpuan orang ramai untuk memberi nasihat dan amaran dalam usaha mengelak kes lemas berlaku.

Katanya, walaupun banjir kali ini bukan bah besar, namun ia tetap berbahaya kerana kawasan rendah dinaiki air pada paras tinggi, selain aliran air deras tidak sesuai untuk kanak-kanak.

"Tinjauan dilakukan mendapati anak kecil ditemani ibu bapa bermain air dan perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sebarang kecuaian boleh mengundang musibah.

"Setakat ini, penduduk memberi kerjasama baik dengan JBPM dan kita berharap banjir kali ini tidak menjadi buruk seperti sebelumnya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengikut portal https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan 8.30 meter setakat jam 10.30 pagi semalam, menunjukkan trend air menurun.

Sementara itu, penduduk, Mahizu Mat Husin, 41, berkata tindakan JBPM yang sentiasa meronda dan meninjau kawasan dilanda banjir dalam memastikan keadaan serta keselamatan penduduk terkawal sangat membanggakan.

"Saya membawa anak bermain air di kawasan cetek dan anggota bomba datang menghampiri kami sekeluarga dengan penuh berhemah menasihati supaya sentiasa berhati-hati.

"Pendekatan anggota bomba ini membuatkan penduduk kampung selesa dan mematuhi arahan diberi, malah kami akur teguran diberi demi kebaikan masyarakat setempat," katanya.

Berita Harian X