Sabtu, 20 November 2021 | 11:10am

'My Gaya Month' martabat jenama tempatan

BAGI mempromosi dan memartabatkan produk buatan Malaysia, Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) telah melancarkan 'My Gaya Month' yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kempen yang berlangsung selama sebulan ini bertujuan menyorot kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka fesyen tempatan di Malaysia, di samping memberi galakan kepada masyarakat untuk menyokong kempen Beli Barangan Malaysia.

Inisiatif ini menampilkan 30 pereka mewah tempatan mempamerkan koleksi terbaharu mereka yang disesuaikan khas untuk kempen itu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggije, berkata My Gaya Month ialah satu inisiatif bagi jenama fesyen tempatan untuk meningkatkan tahap kecemerlangan rangkaian produk yang akan disediakan.

"Ia bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga pasaran antarabangsa.

"Usaha ini membolehkan masyarakat mendapatkan capaian yang lebih luas kepada perkhidmatan dan barangan buatan Malaysia sama ada secara dalam talian atau fizikal, dengan pematuhan SOP yang ketat," katanya.

Sementara itu, pereka pakaian lelaki terkemuka Malaysia, Bon Zainal Harun yang juga Pengasas MBDA, berkata mereka berharap agar dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam industri fesyen dan pembuatan yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa.

My Gaya Month catat jualan tinggi

ImageProgram My Gaya Month merancakkan lagi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) serta memberi impak besar kepada keseluruhan ekosistem. - Presiden MBDA, Rasta Rashid

Dalam pada itu, Presiden MBDA, Rasta Rashid, berkata program ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan ketika industri terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Kami berjaya mencatatkan jualan RM402,212 dua kali ganda daripada yang disasarkan iaitu RM250,000 selama sebulan dilancarkan.

"Ini sekali gus merangsang ekonomi, dan mencipta peluang pertumbuhan dalam industri fesyen ke arah membina ekosistem perniagaan yang lain," katanya pada majlis My Gaya Month The Finale yang berlangsung, semalam.

Antara pereka terkenal yang terbabit ialah Bon Zainal, Habsah Saufi, Batek by Rasta Rashid, Rebel, Spider, dan GHADEEZ.

Pada majlis My Gaya Month The Finale, Mark Westwood dan Caroline Wass pereka bagi jenama Carro telah dianugerahkan Designer Awards.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai My Gaya Month, pereka dan koleksi, layari https://fashionhubmbda.com.

Berita Harian X