MASJID TANAH: Walaupun terpaksa menahan kesakitan pada lutut, dua warga emas terpaksa melupakan sementara kesakitan itu demi undi yang amat berharga.
Mohd Shah Seman, 82, dan Salmah Mohd Zin, 84, tidak mampu untuk berdiri lama dan bergerak jauh dari kediaman masing-masing semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara.
Kedua-dua mereka hadir pada jam 8.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra (SMKAP), di sini.
Mohd Shah berkata, dia terpaksa melupakan seketika kesakitan lututnya untuk tidak terlepas peluang mengundi calon yang difikirkan mampu berkhidmat dengan baik.
"Terpaksalah saya menahan kesakitan ketika berjalan dari kereta ke pagar sekolah, sebelum petugas datang membawa kerusi roda untuk saya.
"Saya tidak mahu melepaskan peluang ini (mengundi) kerana ia amat penting untuk masa depan Melaka," katanya ketika ditemui di pusat itu hari ini.
Salmah pula berkata, dia bernasib baik kerana anaknya, Azhar Mohd Yusof, 42, sedia menemaninya dari kediaman mereka di Kampung Londang ke pusat pengundian.
"Saya tidak boleh berdiri lama kerana sakit lutut, tetapi tanggungjawab sebagai pengundi tidak harus diketepikan.
"Saya juga tidak pernah ketinggalan daripada mengundi sejak dulu hingga sekarang dan Alhamdulillah, Allah memberikan umur yang panjang untuk saya," katanya.
Sehubungan itu, beliau berdoa supaya calon yang disukainya memperoleh kemenangan dan mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan sempurna.
Berita berkaitan:
href="https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/889571/langsung-proses-pengundian-prn-melaka">LANGSUNG proses pengundian PRN Melaka