Sabtu, 20 November 2021 | 10:20am
Bekas kakitangan RTM Melaka, Fajar Hasan, 91, dan isteri, Che Ta Md Som, 89, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka, hari ini. - NSTP/SUHAEL ADNAN
Bekas kakitangan RTM Melaka, Fajar Hasan, 91, dan isteri, Che Ta Md Som, 89, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka, hari ini. - NSTP/SUHAEL ADNAN

Nenek 18 cucu tak pernah terlepas mengundi sejak 1955

MELAKA: Kebimbangan penularan COVID-19 tidak menghalang pasangan warga emas untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Sebaliknya, bekas kakitangan RTM Melaka, Fajar Hasan, 91, dan isteri, Che Ta Md Som, 89, yang menetap di Padang Keladi di Durian Tunggal, antara yang paling awal hadir ke pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Mereka mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal untuk memilih antara empat calon yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Che Ta berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang mengundi hari ini, tanggungjawab yang sudah dilaksanakannya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama negara pada 1955.

"Saya tak pernah terlepas mengundi pada semua 14 pilihan raya sebelum ini," katanya yang masih kuat ingatan dan tidak terlalu khuatir dengan penularan COVID-19 kerana sudah mendapat tiga suntikan vaksin, termasuk dos penggalak.

"Alhamdulillah, rasa bersyukur selepas selesai mengundi hari ini. Proses mengundi hari ini mudah dan berjalan dengan pantas. Saya juga rasa selamat untuk mengundi seperti biasa dan yakin dengan peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melindungi pengundi daripada COVID-19.

"Saya memang sudah mula mengundi sejak awal (sebelum merdeka), dan tak pernah terlepas mengundi setiap kali ada pilihan raya," kata nenek kepada 18 cucu itu.

DUN Durian Tunggal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Zahari Abd Kalil (Barisan Nasional); Sofi Wahab (Pakatan Harapan); Ja'afar Othman (Perikatan Nasional) dan Mohd Erfan Mahrila (Bebas).

Pada PRU-14, DUN Durian Tunggal dimenangi Sofi yang mewakili PKR dengan majoriti 763 undi, menewaskan Ab Wahab Ab Latip (Barisan Nasional) dan Mohsin Ibrahim (PAS).

Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Bukit Katil, Adly Zahari bersama isterinya, Dalilah Awaludin, turut hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal pada jam 8.06 pagi.

Adly yang juga calon Ketua Menteri Melaka PH, berdepan saingan empat penjuru di DUN Bukit Katil, menentang Muhammad Al Afiz Yahya (Perikatan Nasional), Datuk Hasnoor Sdg Husin (Barisan Nasional) dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas).

Berita berkaitan:

  • href="https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/889571/langsung-proses-pengundian-prn-melaka">LANGSUNG proses pengundian PRN

  • Berita Harian X