Sabtu, 20 November 2021 | 9:52am

Proses mengundi lancar, pengundi patuhi SOP

MASJID TANAH: Proses mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula jam 8 pagi tadi, berjalan lancar dengan pengundi dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun, di sini, mendapati pengundi mula hadir untuk menunaikan tanggungjawab pada jam 7.45 pagi.

Anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau keadaan pusat pengundian bagi memastikan semua pengundi yang hadir mematuhi SOP ditetapkan.

Setiap pengundi akan mengimbas kod QR, selain melakukan pemeriksaan suhu badan di khemah khas yang disediakan di pekarangan sekolah.

Warga emas, Maimon Hassan, 78, menjadi pengundi pertama di SK Durian Daun apabila selesai menunaikan tanggungjawab pada jam 8.15 pagi.

Dia yang berkerusi roda teruja apabila menjadi pengundi pertama walaupun berkerusi roda kerana mengalami kecederaan kaki akibat kemalangan.

"Walaupun berkerusi roda, saya tetap bersemangat hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab," katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tiba di SK Durian Daun untuk mengundi jam 8.45 pagi tadi.

Hari ini seramai 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar akan memilih parti yang diberikan mandat.

Berita berkaitan:

  • LANGSUNG proses pengundian PRN Melaka
  • Suasana orang awam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. - Foto SYAFEEQ AHMAD
    Suasana orang awam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. - Foto SYAFEEQ AHMAD
    Berita Harian X