X
Sabtu, 20 November 2021 | 9:03am
Calon Pakatan Harapan DUN Bukit Katil, Adly Zahari mengundi di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad
Calon Pakatan Harapan DUN Bukit Katil, Adly Zahari mengundi di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad

Adly harap pengundi Melaka tunai tanggungjawab

ALOR GAJAH: Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal di sini, jam 8.25 pagi tadi.

Calon Ketua Menteri Melaka PH itu bersama isteri, Dalilah Awaludin, tiba di pusat pengundian pada jam 8.06 pagi dan menjadi antara pengundi terawal di sekolah itu yang terletak dalam DUN Durian Tunggal.

Ketika ditemui, Adly berharap semua rakyat Melaka keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini sebelum semua 217 pusat mengundi di seluruh negeri itu ditutup pada jam 5.30 petang hari ini.

"Alhamdulillah pagi ini cuaca baik. Saya berharap rakyat boleh jalankan tanggungjawab mereka hari ini.

"Proses pengundian juga berjalan dengan baik dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Tempoh pengundian juga berjalan pantas," katanya.

DUN Bukit Katil yang memiliki 25,410 pengundi menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Al Afiz Yahya daripada Perikatan Nasional (PN), Adly serta Datuk Hasnoor Sdg Husin (Barisan Nasional) dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Adly menang di DUN Bukit Katil dengan majoriti besar 3,159 undi, menewaskan Yunus Hitam (Barisan Nasional) dan Muhamat Puhat Bedol (PAS).

Berita berkaitan:

  • LANGSUNG proses pengundian PRN Melaka
  • Berita Harian X