Sabtu, 13 November 2021 | 12:24pm
Golongan profesional yang memilih untuk pulang ke kampung selepas bersara wajar dipertimbang memegang jawatan ketua kampung. - Foto hiasan
Golongan profesional yang memilih untuk pulang ke kampung selepas bersara wajar dipertimbang memegang jawatan ketua kampung. - Foto hiasan

Syor pesara profesional jadi ketua kampung

ALOR SETAR: Golongan profesional yang memilih untuk pulang ke kampung selepas bersara wajar dipertimbang memegang jawatan ketua kampung dalam usaha meningkatkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang membuat syor itu, berkata ketika ini ramai pesara profesional seperti bekas duta, pensyarah, doktor dan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) memilih pulang serta menetap di kampung selepas menamatkan perkhidmatan.

Beliau berkata, golongan ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing dan wajar dipertimbang menjadi ketua kepada masyarakat di luar bandar selain turut membimbing penduduk kampung untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Di luar bandar ketika ini kita ada ramai bekas duta, profesor, ketua pengarah dan pegawai daerah yang pulang dan duduk di kampung selepas bersara. Mereka ini boleh berkongsi pengalaman bersama penduduk kampung terutamanya dalam usaha meningkatkan ekonomi desa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

"Jadi jika mereka berminat menjadi ketua kampung apa salahnya? Kita beri pesara profesional ini jawatan agar mereka dapat bantu memikirkan cara memajukan kampung dan faedahnya dinikmati semua penduduk," katanya ketika ditemui BH di sini, baru-baru ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kerajaan tidak boleh secara berterusan memberi bantuan kepada masyarakat luar bandar, sebaliknya mereka harus berani berubah dan berusaha meningkatkan taraf kehidupan.

"Sebenarnya penduduk di luar bandar ini tinggal di kawasan umpama pusat peranginan. Di luar bandar ada bukit, sungai dan hutan yang sentiasa dicari mereka yang tinggal di bandar... setiap kali musim cuti ramai orang bandar keluar mencari pemandangan kampung (untuk melancong).

"Sedangkan penduduk di kampung sudah ada semua ini, mereka ada rumah yang elok dan kebun buah-buahan. Cumanya mereka perlu jaga kebersihan, jangan buang sampah merata-rata dan jaga persekitaran.

"Bukan sahaja orang bandar, malah pelancong luar negara juga sukakan kehidupan di kampung," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan pembangunan luar bandar, beliau berkata, kementeriannya kini dalam perbincangan bagi merancang konsep kehidupan desa yang pernah dilaksanakan bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung-hee di negara itu pada tahun 1969.

"Melalui konsep ini kita akan menggalakkan penduduk luar bandar terus kekal di kampung, manakala kerajaan akan membantu dengan memberi bahan membaiki rumah dan peralatan untuk berkebun, namun mereka harus mengusahakannya secara sendiri.

"Biarlah generasi muda mahu ke bandar untuk bekerja, tetapi yang memilih kekal di kampung boleh terbabit dalam kegiatan ekonomi desa. Bukan kita hendak buat di seluruh negara, tetapi sebagai permulaan mungkin satu atau dua tempat di setiap daerah," katanya.

Beliau berkata, konsep hampir sama turut dibuat apabila kerajaan melaksanakan projek Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) dan Bandaraya Getah Kedah (KRC) apabila penduduk luar bandar terbabit secara langsung dalam kegiatan industri di kawasan mereka.

Taman Teknologi Tinggi Kulim adalah kawasan perindustrian berteknologi tinggi yang dibangunkan di Kulim, Kedah membabitkan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kedah. Pembangunan taman teknologi itu membuka banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, khususnya di selatan Kadah.

Bandaraya Getah Kedah (KRC) meliputi kawasan seluas kira-kira 200 hektar dibangunkan di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap, Kedah, untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk getah selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ketua Kampung Daerah Baling, Kedah, Mohamad Shariff Bustaman, menyokong cadangan melantik pesara profesional menjadi ketua kampung kerana ia mampu menyumbang kepada pembangunan desa.

Bagaimanapun katanya, proses pemilihan bagi jawatan itu harus dibuat secara terperinci kerana tugas dan tanggungjawab ketua kampung terutama di luar bandar adalah sesuatu yang berat.

"Memang bagus jika bekas pegawai kerajaan atau mereka yang berpengalaman mengurus menjadi ketua di kampung, namun tugas ketua kampung bukan setakat mentadbir, tetapi turut membantu menjaga kehidupan masyarakat.

"Kena pilih mereka yang betul-betul layak kerana kehidupan di kampung berbeza. Ada penduduk yang datang tengah malam minta bantuan, malah ketika banjir ketua kampung turut membantu memindahkan mangsa ke pusat pemindahan," katanya.

Berita Harian X