Rabu, 27 Oktober 2021 | 4:04pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

'KPM perlu bertindak segera hentikan amalan, bukan sekadar janji'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bertindak segera serta konsisten dalam melaksanakan langkah praktikal menghentikan amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan di sekolah.

Ini berikutan isu terbabit sudah berlarutan sekian lama serta perlu ditangani segera, kerana pelajar seharusnya dilindungi daripada gangguan dan diskriminasi selain pelakunya wajar dipertanggungjawabkan.

Pegawai Penyelidik dan Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Isabel Chung, berkata amalan memeriksa gadis 'datang bulan' bukan isu baharu, malah banyak sekolah sudah melaporkannya di seluruh negara.

Pegawai Penyelidik dan Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Isabel Chung.
Pegawai Penyelidik dan Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Isabel Chung.

"Hakikatnya melakukan pemeriksaan fizikal haid adalah satu lagi bentuk gangguan yang semakin banyak dilaporkan gadis daripada banyak sekolah dan ini menunjukkan isu sudah lama berlaku.

"Sepatutnya sekolah menjadi selamat untuk remaja dan kanak-kanak, namun jika amalan ini tidak segera dibendung, budaya penderaan dan buli toksik ini akan berterusan," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, menyatakan yang KPM memandang serius berhubung dakwaan masih ada amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan di sekolah.

Katanya, KPM komited untuk memastikan amalan sedemikian tidak terus berlaku di mana-mana institusinya.

Sebelum ini, media ada melaporkan pendedahan sebuah portal berita mengenai pelajar di beberapa sekolah yang tidak dinamakan, mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang haid dikatakan sudah berlaku sejak 20 tahun lalu.

Sehubungan itu, KPM kini sedang dalam usaha menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menangani aduan termasuk isu pemeriksaan haid di sekolah yang dibangkitkan itu.

Chung berkata, KPM sewajarnya mengeluarkan garis panduan yang jelas melarang amalan membuat pemeriksaan haid secara fizikal, selain perlu mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan yang tidak mengendahkan larangan itu.

"Selain itu KPM perlu mewujudkan talian 'hotline' atau aplikasi khusus untuk pelajar melaporkan perbuatan itu dengan memberi jaminan nama pengadu tidak didedahkan demi melindungi identiti guru atau murid yang membuat laporan," katanya sambil menegaskan WHO mengecam keras amalan itu.

Pada April lalu, katanya, KPM sudah menyatakan komitmen untuk menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan itu, namun sehingga kini pihak terbabit tidak menjadikannya sebagai kenyataan.

Selain itu katanya, pihaknya mengesyorkan beberapa langkah jangka panjang diambil antaranya mewajibkan pentadbir sekolah dan guru menjalani latihan meningkatkan kepekaan terhadap gender.

"Langkah ini bagi meningkatkan kesedaran asas mengenai peranan jantina, kuasa, had fizikal dan persetujuan. Selain itu, kurikulum khusus berkaitan kepekaan gender perlu diajar supaya budaya buli ini tidak berterusan," katanya.

Dalam pada itu katanya, WAO berharap kerajaan dapat bersama memerangi keganasan wanita dan remaja perempuan di negara ini.

Katanya, WAO akan menyokong mangsa yang pernah diperiksa secara fizikal untuk memastikan kesahihannya datang bulan serta didiskriminasi dengan gangguan lain.

"Mangsa boleh menghubungi Talian WAO , +603 3000 8858 atau menerusi aplikasi WhatsAppTINA, +6018 988 8058 iaitu saluran yang sentiasa terbuka untuk seseorang yang perlu berbincang atau memerlukan bantuan tindakan seterusnya yang perlu dilakukan," katanya.

Berita Harian X