Rabu, 27 Oktober 2021 | 11:10am

Moratorium bayaran balik pinjaman bawah PEMULIH masih dibuka

KUALA LUMPUR: Permohonan moratorium bayaran balik pinjaman di bawah program Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) masih dibuka kepada peminjam yang memerlukan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Shahar Abdullah berkata, peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing dan jika berdepan kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank atau permohonan moratorium ditolak, mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) secara terus melalui BNM TELELINK di talian 1-300-88-5465.

Timbalan Menteri Kewangan I, Shahar Abdullah. - NSTP/ARKIB
Timbalan Menteri Kewangan I, Shahar Abdullah. - NSTP/ARKIB

"Kerajaan ingin menekankan bahawa bank-bank bersedia untuk memberi bantuan bayaran balik pinjaman kepada mereka yang terjejas," katanya menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) di Dewan Rakyat, hari ini.

Khalid dalam soalannya, ingin mengetahui sama ada kerajaan bakal melanjutkan pemberian moratorium kepada individu dan perusahaan dan adakah pemberian moratorium tanpa faedah terakru akan diperkenalkan.

Shahar berkata, pada 14 Oktober lalu, industri perbankan telah mengumumkan Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi golongan 50 peratus terbawah kumpulan pendapatan (B50), iaitu isi rumah berpendapatan sehingga RM5,880 yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya, skim yang menyeluruh itu bukan saja membantu peminjam membuat pembayaran balik pinjaman mengikut kemampuan, malah mereka juga mendapat manfaat menerusi nasihat pengurusan kewangan yang boleh meningkatkan daya tahan kewangan mereka dalam jangka panjang.

"Di bawah program ini, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya," katanya.

Beliau menjelaskan, bagi peminjam lain yang turut terkesan dan memerlukan bantuan dalam urusan bayaran balik pinjaman selepas pakej PEMULIH tamat, bank-bank akan terus menyediakan pakej bantuan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan peminjam.

"Peminjam juga boleh memohon pelbagai program yang ditawarkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Hutang, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Skim Sokongan Daya Tahan Kewangan.

"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan institusi perbankan serta mempunyai ciri-ciri seperti ansuran bulanan yang berkurangan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan daya tahan kewangan," katanya.

- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
Berita Harian X