Selasa, 26 Oktober 2021 | 10:12pm
Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek
Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek

Perbincangan PAS-BERSATU sudah sempurna

MELAKA: Perbincangan pembahagian kerusi antara PAS dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) sudah sempurna tetapi terpaksa menunggu keputusan muktamad Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, lusa.

Setakat ini PAS dan BERSATU di negeri ini sudah mencapai kesepakatan mengenai kerusi yang bakal ditandingi calon kedua-dua parti tetapi disifatkan 'masih terawang-awang.'

Menjelaskannya, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata perbincangan dari hati ke hati dengan meletakkan kepentingan Melayu dan Islam sebagai landasan utama antara PAS dan BERSATU, sudah sempurna.

"Alhamdulillah, hari ini kami sudah mencapai kesepakatan yang dicari selama ini dan kami berjaya kerana niat kami sama, iaitu untuk menyatukan bangsa Melayu dan Islam.

"Namun demikian, segala keputusan itu masih di awang-awangan kerana kami terpaksa menunggu kata putus UMNO sama ada ingin bekerjasama dengan PN atau sebaliknya walaupun sebelum ini Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sudah menyatakan tidak akan ada kerjasama dengan BERSATU," katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, PAS tidak akan terburu-buru dalam menyusun strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini, sebaliknya sentiasa berhati-hati bagi memastikan tidak mengalami kerugian, khususnya untuk bangsa Melayu dan Islam secara keseluruhannya, katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada perbincangan itu bakal menyaksikan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibahagikan sama rata antara PAS dan BERSATU.

"Sabarlah, kita perlu tunggu hingga Khamis ini tetapi dalam masa yang sama kerja awal kempen sudah dibuat dan insya-Allah jentera akan bergerak sepenuhnya apabila tiba waktunya," katanya.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dengan PN akan dibawa ke perbincangan MKT UMNO, Khamis ini.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan muktamad kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PN akan diumumkan apabila mesyuarat Biro Politik dan MKT yang diikuti dengan mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Kamarudin yang bertanding di DUN Duyong tewas kepada Damian Baba Yoe dari DAP.

PAS Melaka bertanding di 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada pilihan raya berkenaan tetapi kalah semua.

BERSATU yang ketika itu sebahagian daripada sekutu PH bertanding di enam kerusi, iaitu Ayer Limau, Lendu, Asahan, Paya Rumput, Telok Mas dan Sungai Rambai.

Bagaimanapun BERSATU hanya menang di Paya Rumput yang diwakili oleh Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Telok Mas (Datuk Noor Effandi Ahmad).

Berita Harian X