Ahad, 24 Oktober 2021 | 3:03pm

Jenazah Mamat Khalid selamat dikebumikan

IPOH: Jenazah pengarah dan penerbit filem, Mamat Khalid yang meninggal dunia jam 12.30 tengah malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh di sini, kira-kira jam 2.20 petang ini.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam di sini sebelum dibawa ke kawasan perkuburan jam 1.50 tengah hari.

Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan ialah rakan-rakan artis antaranya, M Nasir bersama isteri, Awie, Zul Ariffin, Pekin Ibrahim, Bell Ngasri, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Avaa Vanja, Mat London, penerbit dan pengarah, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Yang turut hadir menziarah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh dan Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

Awal pagi tadi, media melaporkan Pengarah terkenal Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak.

Allahyarham pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak.

Mamat mendirikan rumah tangga dengan dengan Hasmah Hassan pada 12 April 1987 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Amen dan Nur Hassanan.

Jenazah Mamat Khalid tiba pada jam 12.25 tengah hari di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Jenazah Mamat Khalid tiba pada jam 12.25 tengah hari di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Orang ramai melakukan solat jenazah Mamat Khalid di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam, turut sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (empat kiri). Mamat Khalid, 58, disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River pada 12.30 malam tadi di percayai akibat serangan jantung. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Antara karyanya yang paling popular ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.

Sementara itu, Awie ketika ditemui berkata, arwah mengajar hingga semua pelakon dapat membawa watak yang lebih baik. Arwah kelihatan garang tetapi disifatkan sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik kepada semua pelakon dan krew serta seorang yang periang.

"Dia penghibur di kala ada orang yang bermasalah di lokasi dan pada masa sama dia juga mengajar hingga semua pelakon dapat membawa watak yang lebih baik. Dia yang membawa saya hingga kekal sebagai watak Husin dan hingga ke akhir arwah memanggil saya dengan watak itu," katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Mamat Khalid di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini, hari ini.

Awie ketika ditemui di kediaman arwah Mamat Khalid di Taman Ipoh Jaya, Ampang. Mamat Khalid, 58, disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River pada 12.30 malam tadi di percayai mengalami masalah jantung. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Awie mengakui tidak dapat menahan kesedihan di atas kehilangan penerbit dan pengarah terkenal itu.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa Mamat Khalid ialah pada tayangan Kampung Pisang Muzikal. Dia menerima dua panggilan telefon daripada rakannya dari Perak namun tidak sempat menjawab kerana sedang menjalani penggambaran sebelum mendapat berita kematian Mamat Khalid.

"Apabila dihubungi rakan dari Perak, saya mula tidak sedap hati dan apabila diberitahu abang Mamat sudah tiada, luruh hati saya, pergi lagi seorang sahabat saya, abang saya," katanya.

Katanya, beberapa minggu lalu, arwah ada menghantar mesej di aplikasi WhatsApp.

"Love you bro, cepat-cepat sembuh'. Dia tidak pernah hantar mesej begitu dengan saya sebelum ini dan kalau bergurau pun kasar, tetapi kemudiannya dia turut bertanya khabar," katanya.

Pelakon, Pekin Ibrahim ketika ditemui di kediaman arwah Mamat Khalid di Taman Ipoh Jaya, Ampang. Mamat Khalid, 58, disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River pada 12.30 malam tadi di percayai mengalami masalah jantung. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Sementara itu, Pekin Ibrahim turut meluahkan rasa kehilangan seseorang yang memberi ruang dan antara insan yang mengangkatnya dalam industri seni.

"Kami rapat macam ayah sendiri dan sangat terasa kehilangannya. Dia antara orang yang terawal ambil saya berlakon," katanya sebak.

Katanya, arwah kali terakhir berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp minggu lalu.

Isteri Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan (dua kanan) menyiram air bunga mawar di pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Isteri Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan (dua kanan) menyiram air bunga mawar di pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Berita berkaitan:

  • 'Mamat pengsan, meninggal dunia dalam ambulans'
  • Pemergian Mamat Khalid kehilangan bakat tiada pengganti
  • Jenazah Allahyarham Mamat Khalid dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Kampung Paloh
  • Tiara hilang 'abang' genius
  • Perginya wira perpaduan - Halimah Sadique
  • Anak didik kenang jasa Mamat
  • Dunia seni kehilangan bintang
  • Adik saya pencinta seni tegar - Datuk Lat
  • 'Sempat ajar suami mengucap, berzikir'
  • 'Petik gitar cari ilham, sudut kamera'
  • 'Arwah benar-benar seorang abang!'
  • Sarang Art Hub diusahakan Mamat Khalid ceriakan Tanjung Malim
  • 'Papa turunkan ilmu bikin filem'
  • Berita Harian X