Sabtu, 23 Oktober 2021 | 7:12pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Punca kematian pelajar divaksin diketahui minggu depan'

JOHOR BAHRU: Keputusan lengkap bedah siasat terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Batu Pahat, yang meninggal selepas menerima dos pertama vaksin COVID-19, dijangka diperoleh dalam esok hingga Khamis ini.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata Noor Hayati Nabila Abdullah, yang juga pelajar Tingkatan Dua itu menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 Comirnaty Pfizer, pada 3 Oktober lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelajar terbabit ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah oleh ibunya pada 8 Oktober lalu.

Katanya, bedah siasat sudah dijalankan selepas jenazahnya dibawa pegawai penyiasat polis, Balai Polis Batu Pahat ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) atas sebab kematian mengejut.

"Pemeriksaan luaran ke atas jenazah mendapati ia dalam keadaan baik, manakala pemeriksaan dalaman ke atas jenazah mendapati terdapat ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

"Semua sampel tisu dalam badan sudah dihantar bagi pemeriksaan lanjut Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Keputusan pemeriksaan lanjut dijangka boleh diperoleh antara 24 hingga 28 Oktober ini. Pelbagai ujian darah juga dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan.

"Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan uji kaji masih belum diterima. Laporan bedah siasat yang lengkap perlu bagi mendapatkan sebab kematiannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kematian remaja perempuan itu turut tular di media sosial.

Sementara itu, Dr Aman berkata, HSNI menerima permohonan bedah siasat daripada pihak polis daerah Batu Pahat selepas keluarga remaja perempuan itu membuat laporan polis susulan meninggal dunia secara mengejut.

Katanya, temubual lanjut pegawai perubatan Unit Perubatan Forensik, HSNI bersama waris remaja perempuan itu mendapati pelajar terbabit tidak mempunyai sebarang penyakit dan alahan.

"Selepas menerima suntikan, keadaan pelajar itu baik tanpa demam, malah dia juga dilaporkan boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa sebelum ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumahnya pada 8 Oktober lalu," katanya.

Berita Harian X