Khamis, 21 Oktober 2021 | 11:50pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Tan Sri Sabbaruddin Chik sebagai sifu dan mentor politik yang tidak mampu dibalas jasanya. - NSTP/Ihsan FB Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Tan Sri Sabbaruddin Chik sebagai sifu dan mentor politik yang tidak mampu dibalas jasanya. - NSTP/Ihsan FB Ismail Sabri Yaakob

Sabbaruddin mentor saya - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Tan Sri Sabbaruddin Chik sebagai sifu dan mentor politik yang tidak mampu dibalas jasanya.

Ismail Sabri dalam coretan di facebook berkata, tokoh politik veteran berusia 80 tahun itu individu yang banyak mendidiknya dalam arena politik, sehingga akhirnya menduduki jawatan Perdana Menteri.

"Bersama Tan Sri Sabbaruddin Chik, sifu politik saya. Beliaulah mentor politik yang telah mendidik saya dalam arena politik.

"Daripada lantikan sebagai Ketua Penerangan Bahagian Temerloh sewaktu saya berumur 27 tahun, sehinggalah melantik saya sebagai Setiausaha Politik beliau pada tahun 1995 sehingga 1999 sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, jasa Sabbaruddin kepadanya amat besar dan beliau tidak mampu membalasnya.

Katanya, kejayaan dalam politik sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri turut tidak akan dicapai tanpa peranan Sabbaruddin.

"Tanpa beliau tentu saya tiada di sini. Sebab itulah sehingga sekarang saya terus menghormati dan bersama sifu saya ini," katanya.

Perdana Menteri turut memuat naik sekeping foto beliau menolak kerusi roda yang dinaiki Sabbaruddin selepas makan malam bersama, semalam.

Pertemuan anak murid dan sifunya itu turut dikongsi oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Anuar Yunus di facebook petang tadi.

Anuar berkata, Perdana Menteri tidak melepaskan peluang berbincang mengenai senario politik terkini dalam kesempatan bertemu Sabbaruddin.

"Pada pertemuan hampir dua jam itu, mereka berbual pelbagai perkara. Sudah tentu mengenang kisah lama, cerita suka duka dan pahit manis dalam politik.

"Mereka turut berbincang mengenai senario politik terkini, termasuk konsep Keluarga Malaysia yang dibawa dalam pentadbiran kerajaan hari ini," katanya.

Berita Harian X