Khamis, 21 Oktober 2021 | 5:51pm
Pemimpin parti akan memutuskan jalan terbaik menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka. - Foto hiasan
Pemimpin parti akan memutuskan jalan terbaik menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka. - Foto hiasan

Tiada pertembungan UMNO-BERSATU di PRN Melaka - Takiyuddin

BANGI: PAS yakin tiada pertembungan di antara calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), khususnya membabitkan UMNO dan BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perbincangan di antara parti komponen PN dan BN itu sedang berjalan dan pemimpin parti akan memutuskan jalan terbaik menghadapi pilihan raya berkenaan.

Katanya, perbincangan itu juga mengambil kira kebersamaan PAS, UMNO dan BERSATU serta parti komponen lain yang dapat bekerjasama, bagi membentuk Kerajaan Persekutuan ketika ini.

"Perbincangan itu sentiasa. Kita berbincang. Kita dalam satu kerajaan. Dalam Kerajaan Persekutuan, kita berbincang setiap masa.

"Kita akan mencari jalan terbaik untuk negara dan rakyat. Tak ada pertembungan lagi sekarang ini (antara PN dan BN). Insya-Allah tak ada pertembungan (dalam PRN Melaka)," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sudah ada perbincangan rasmi di antara PN dan BN sama ada akan mewujudkan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka, serta kemungkinan berlaku pertembungan di antara dua parti gabungan dalam Kerajaan Persekutuan itu.

Terdahulu, Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan berkata, PN sedia berdepan pertembungan tiga penjuru pada PRN Melaka, jika BN terus berdiam diri mengenai kerjasama di antara dua parti berkenaan.

Pada 13 Oktober lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO dan BN akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun BERSATU.

Namun, kelmarin Ahmad Zahid memaklumkan parti itu dan BN belum memutuskan pendirian untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik dalam PRN Melaka.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang ingin ditandingi PAS dalam PRN Melaka, Takiyuddin memaklumkan perkara itu belum diputuskan parti berkenaan.

"Kita masih dalam proses berbincang. Belum diputuskan lagi. Kita sedang cari jalan terbaik," katanya.

Berita Harian X