Khamis, 21 Oktober 2021 | 9:02am
Kenderaan ditenggelami air susulan banjir kilat di Sepang. FOTO IHSAN PEMBACA
Kenderaan ditenggelami air susulan banjir kilat di Sepang. FOTO IHSAN PEMBACA

3 PPS dibuka di Sepang akibat banjir

SEPANG: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dengkil susulan banjir kilat melanda di daerah ini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, PPS berkenaan dibuka malam tadi di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sekolah Agama Rendah Agama (SRA) Dengkil dan SRA Kampung Dato Ahmad Razali.

Katanya, hujan lebat sejak jam 1 tengah hari semalam menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan di daerah itu.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang menggerakkan seluruh aset dan anggota bagi membantu penduduk yang terkesan," katanya, hari ini.

HUJAN lebat sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat akibat limpahan Sungai Langat. Foto ihsan pembaca.
HUJAN lebat sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat akibat limpahan Sungai Langat. Foto ihsan pembaca.

Antara kawasan terjejas banjir kilat adalah Kampung Sungai Merab Jaya, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam, Taman Delima dan Taman Baiduri.

Sementara itu, di Taman Dataran Abadi, Kampung Labu Lanjut, sebanyak 100 rumah dilanda banjir kilat akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.

Jurucakap bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang semalam bagi membantu memindahkan penduduk.

Katanya, seramai 200 penduduk terjejas diarahkan berpindah dan berkumpul di Surau Abadi di taman berkenaan.

"Penduduk juga diarahkan membuat ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan kerana terdapat seorang penduduk yang positif.

"Kesemua yang menjalani saringan akan dipindahkan ke PPS di kawasan berkenaan," katanya.

Berita Harian X