Isnin, 18 Oktober 2021 | 9:01pm
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto BERNAMA
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto BERNAMA

Ulama, umara jangan pejam mata terhadap rasuah - Sultan Nazrin

PUTRAJAYA: Ulama dan umara tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisu terhadap perbuatan rasuah, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda yang menyampaikan Titah Perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, malam ini, bertitah ulama dan umara wajib berganding usaha dan tenaga berjihad menghapuskan rasuah kerana setiap insan yang diangkat oleh Ilahi ke taraf pemimpin, disertakan dengan tugas dan tanggungjawab.

Sultan Nazrin bertitah, rasuah adalah barah amat bahaya serta terbukti menjadi punca penderitaan warga dan kemiskinan rakyat, menjadi punca kejatuhan kerajaan dan pemerintahan, keruntuhan negara dan empayar, serta keruntuhan tamadun dan budaya.

Justeru, baginda bertitah, mereka tidak seharusnya melalaikan diri selain mengambil iktibar daripada kata-kata Imam Syafie iaitu "Berapa ramai manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kafannya sudah ditenun".

"Ketika ummah berasa gundah gelisah, pemimpin berperanan besar untuk mewujudkan dunia yang aman dan kehidupan yang sejahtera. Ummah, merindui kepemimpinan yang adil lagi saksama, kepemimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

"Ummah merindui kepemimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik.

"Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepemimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah.

"Ummah amat merindui berada bawah naungan pemimpin yang mengamalkan sifat kepemimpinan Rasulullah SAW; sifat kepemimpinan yang wajib dijadikan contoh ikutan," titah baginda dalam satu siaran melalui stesen televisyen RTM, malam ini.

Baginda bertitah, seseorang pemimpin yang baik, perlu dibantu oleh barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas, serta diperlengkap dengan peniaga yang jujur kerana Rasulullah SAW turut meletakkan status peniaga yang jujur, sejajar dengan wali, siddiqin, syuhada dan solihin.

Titah baginda, kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin manakala ulama besar, umara berwibawa dan peniaga yang berjaya akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki iman dan ketakwaan.

"Jika pemimpin sentiasa insaf akan tanggungjawabnya kepada ummah dan kepada negara, serta lebih insaf akan tanggungjawab lebih besar terhadap Allah SWT, akan sejahtera hidup ummah dan akan makmur negara. Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan.

"Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur dan tidak telus, apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang," titah baginda.

Titah baginda, sambutan Maulidur Rasul dianjurkan dengan tujuan memperingati seorang pemimpin ummah yang unggul lagi mulia, yang menjadi contoh, seorang tokoh ketampanan lahiriah yang mencerminkan keindahan batiniah.

Rasullullah SAW, titah baginda, berjaya membina tamadun yang agung, yang mengangkat ummah mencapai persada kegemilangan, melalui hikmah dan kebijaksanaan kepemimpinannya.

"Baginda meninggalkan dua perkara untuk dijadikan pegangan dan ikutan ummah, pertama, Al-Quran dan kedua, Sunah. Sayangnya, sunah Rasulullah SAW kini semakin disisihkan dan terpinggir dalam kehidupan harian insan. Oleh yang demikian, sempena ulang tahun memperingati tarikh keputeraan baginda, amatlah relevan bagi ummah mencari mutiara berharga yang terkandung dalam sunah baginda, untuk dijadikan panduan dan pedoman.

"Pemerintahan baginda teguh berpegang kepada hukum, gigih mencegah kemungkaran, tegas menegur kesalahan, walaupun membabitkan sahabat, anggota keluarga, atau anggota kabilah, selaras semangat yang terkandung dalam hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik perjuangan adalah bercakap benar di sisi pemerintah yang zalim."

"Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda mahu membina kekayaan diri dan kekayaan famili," titah Sultan Nazrin.

Berikutan itu, Sultan Nazrin bertitah, ketika wafat, Rasullulah SAW hanya meninggalkan sebilah senjata, seekor kuda, dan tanah yang disedekahkan.

Titah baginda, Rasulullah SAW tidak meninggalkan kekayaan harta benda untuk direbut, sebaliknya mewariskan didikan dan amalan baik, untuk dijadikan panduan dan pedoman, dalam usaha membina kehidupan ummah yang sejahtera, kehidupan ummah yang mendapat keredaan, berkat dan rahmat Ilahi.

Berita Harian X