Isnin, 18 Oktober 2021 | 8:47pm
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat. - Foto fail NSTP
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat. - Foto fail NSTP

Sajat sahkan sudah berada di Australia

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, mengesahkan dirinya kini sudah berada di Australia.

Nur Sajat memaklumkan dirinya sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia, dan sudahpun secara rasmi berhijrah ke Negara Kanggaru itu dengan bantuan Kerajaan Australia, ketika 'live' di media sosial miliknya.

Untuk rekod, Nur Sajat sebelum ini ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu, selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis.

Ketika ditahan, Nur Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.

Dalam perkongsian yang dibuat secara langsung di media sosialnya, Nur Sajat berkata, dia bukanlah melarikan diri, sebaliknya hanya berhijrah.

"Kita tak lari, kita berhijrahlah. Tak baik kata kita lari you all (anda semua) yang kata kita lari tak boleh terima hakikatkan," katanya ketika berinteraksi dengan pengikutnya di media sosial.

Mengulas mengenai status agamanya, Nur Sajat menegaskan, dia masih seorang muslim.

"I (saya) rasa kalau I (saya) masih Islam...biarlah you (kamu) dengan Islam you (kamu). This is more respect (ini lebih hormat). Tak perlulah you (kamu) nak judge (hakimi) I (saya) ke apa ke. Kita hormat satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Nur Sajat juga menegaskan, dia dalam perancangan untuk membuka perniagaan di negara berkenaan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan misteri 'kehilangan' Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Pada 9 September lalu, atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah, namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Berita Harian X