Ahad, 17 Oktober 2021 | 4:57pm
- Hiasan
- Hiasan

UMNO kena realistik hadapi PRN Melaka

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengambil kira realiti politik semasa sebelum membuat keputusan berhubung status kerjasama dengan PAS atau BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata ini kerana kerajaan Pusat diterajui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri turut membabitkan sokongan daripada PAS dan BERSATU.

Justeru katanya, muafakat politik itu perlu diteruskan dalam PRN Melaka, bukannya bertanding secara bersendirian tetapi selepas itu kembali bersama dalam Kabinet.

"Kita kena realistik kerajaan sekarang dianggotai UMNO, PAS, BERSATU, GPS (Gabungan Parti Sarawak), STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) dan Bebas.

"Kalau kita 'bergaduh' dalam PRN Melaka tetapi apabila balik ke Putrajaya kita kembali berkawan, ini boleh menyebabkan rakyat tak gembira, silap-silap rakyat makin benci.

"Maka, pandangan UMNO Arau mesti ada kerjasama parti politik Bumiputera terutama PAS dan BERSATU, jangan ambil prinsip merugikan," katanya kepada BH, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika diwawancara dalam satu program yang disiarkan secara dalam talian pada Isnin lalu, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan soal kerjasama dalam PRN Melaka masih belum diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Sementara itu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata walaupun Perhimpunan Agung UMNO 2020 bersetuju memutuskan hubungan dengan BERSATU, ketetapan itu adalah untuk PRU-15, bukannya PRN Melaka.

Sehubungan itu katanya, kerjasama wajar diteruskan kerana sebuah kerajaan Pusat yang kuat amat diperlukan untuk mentadbir negara.

"Kerjasama selepas PRU-15 adalah perkara lain, sekarang kita perlukan kerajaan yang kuat untuk tadbir negara.

"Kerajaan sekarang jadi kuat kerana disokong pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU) sehingga banyak rang undang-undang (RUU) diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

"Ini menunjukkan walaupun kita berbeza pendapat sesama parti yang memerintah, di pihak pembangkang mereka beri sokongan kuat. Ini tidak bagus, keadaan macam sudah jadi terbalik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahidan menyeru supaya parti Melayu bersatu padu bagi menzahirkan kekuatan pada PRN Melaka.

Katanya, pemerhatiannya mendapati mana-mana parti yang bertanding secara bersendirian tidak mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan.

"Kalau PAS dan BERSATU bertanding solo, mereka tak akan menang (bentuk kerajaan negeri). Begitu juga UMNO kalau solo tak boleh menang juga.

"Untuk memerintah, perlu ada kerjasama semua parti politik Bumiputera di Melaka. Tiada pilihan lain," katanya.

Berita Harian X