Sabtu, 16 Oktober 2021 | 11:58pm
Pemuda PAS mendesak kerajaan supaya menutup operasi kilang arak jenama tempatan, Timah. - Foto fail NSTP
Pemuda PAS mendesak kerajaan supaya menutup operasi kilang arak jenama tempatan, Timah. - Foto fail NSTP

Kerajaan didesak hentikan operasi kilang arak Timah

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mendesak kerajaan supaya menutup operasi kilang arak jenama tempatan, Timah yang disifatkan sebagai malapetaka dan penghinaan kepada Malaysia.

Ketua Penerangannya, Nazir Helmi, berkata kewujudan kilang arak terbabit yang giat mengeksport produk mereka, tidak mendatangkan sebarang manfaat, malah membawa mudarat besar.

Tegasnya, Pemuda PAS melahirkan rasa kesal dengan kewujudan arak jenama tempatan itu yang baru memenangi anugerah antarabangsa, baru-baru ini.

"Berdasarkan carian, arak jenama Timah ini bukanlah baru sahaja wujud seperti digembar-gemburkan 'cybertrooper' pembangkang, tetapi arak ini sudah wujud sejak bertahun lamanya.

"Pemuda PAS melahirkan persoalan bagaimana pengusaha arak ini beroperasi sejak sekian lama, tetapi digembar-gemburkan seolah ia baru wujud setahun dua ini. Walaupun begitu, Pemuda PAS tetap konsisten menentang kewujudan perusahaan arak ini," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Nazir berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil tindakan menutup perusahaan kilang arak berkenaan daripada terus beroperasi.

Katanya, masih banyak sumber pendapatan yang boleh diperoleh oleh negara selain perusahaan arak.

"Arak ini bukan sahaja merosakkan umat Islam, malah kesannya turut dirasai semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Berapa ramai rakyat Malaysia yang mati akibat kesan arak, sama ada disebabkan kemalangan jalan raya mahupun ketagihan arak? Berapa banyak institusi kekeluargaan yang runtuh akibat arak? Kesannya merosakkan seluruh institusi masyarakat dan negara," katanya.

Beliau turut menasihatkan pembangkang supaya tidak menjadikan isu terbabit sebagai modal sentimen politik murahan kerana kilang berkenaan beroperasi ketika mereka menjadi kerajaan.

"Mereka sendiri berdiam diri walaupun mengetahuinya. Sebaiknya seluruh umat Islam, tanpa mengira agama dan latar belakang politik bersatu padu menggesa supaya perusahaan arak ini dihentikan segera," katanya.

Berita Harian X