Jumaat, 15 Oktober 2021 | 11:26pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Gangguan bekalan air pulih di 4 wilayah

KUALA LUMPUR: Empat daripada lapan wilayah yang melalui proses pemulihan air susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), sudah mencapai tahap pemulihan sepenuhnya, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, empat wilayah itu ialah Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam dan Kuala Selangor.

Syarikat itu berkata, empat lagi wilayah iaitu Petaling kini mencapai 99.5 peratus pulih manakala, Gombak (92.5 peratus), Kuala Lumpur (75 peratus) dan Klang (52.5 peratus).

"Pemulihan bekalan air di 998 kawasan terjejas sudah mencapai 88 peratus, setakat jam 9 malam tadi," kata Air Selangor dalam kenyataan, malam ini.

Bagaimanapun Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Pengguna yang ingin mengetahui status pemulihan kawasan terjejas, Pili Air Awam serta Stesen Pengisian Air Komersial boleh melayari laman sesawang hentitugas.airselangor.com," katanya.

Berita Harian X