Jumaat, 15 Oktober 2021 | 8:09pm
Tan Sri Md Nor Yusof
Tan Sri Md Nor Yusof

Md Nor letak jawatan sebagai Pengerusi TH

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pengerusinya Tan Sri Md Nor Yusof melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi TH berkuatkuasa hari ini.

TH berkata, sepanjang menjadi Pengerusi TH, Md Nor memacu usaha penyusunan semula, memperkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan agensi itu sebagai organisasi Islam bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima.

"Jumlah deposit pada 30 Jun lalu ialah RM81.14 bilion, tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun lalu. Ini mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan lebih tinggi pendeposit.

"Anggota Lembaga Pengarah, pengurusan kanan dan semua warga kerja TH mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau yang sentiasa memberi komitmen tinggi sepanjang tiga tahun perkhidmatannya di TH," kata TH dalam kenyataan, hari ini.

Md Nor, 74, dilantik sebagai Pengerusi TH pada 13 Julai 2018 menggantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang berkhidmat sebagai Pengerusi TH dari 1 Julai 2013 sehingga akhir Mei 2018.

Akauntan Bertauliah ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan daripada Universiti Otago, New Zealand, pernah berkhidmat lebih 19 tahun dengan Kumpulan CIMB sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Commerce (M) Berhad.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) dan Pengerusi Malaysia Airlines Berhad.

Berita Harian X