Jumaat, 15 Oktober 2021 | 1:20pm

MPN tubuh pasukan petugas khas bantu PKS

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperhalusi isu pembiayaan, tenaga kerja serta keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan itu akan menjalankan kajian terperinci mengenai langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang yang boleh diambil bagi membantu PKS terbabit.

Beliau berkata, ini kerana PKS yang memerlukan bantuan itu membabitkan pelbagai sektor dan industri.

"Pasukan petugas khas ini diberi masa sebulan untuk membentangkan kajian terperinci dan syor kepada MPN bagi pertimbangan lanjut," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini.

Yang turut hadir ialah ahli MPN, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Tony Fernandes, Datuk Michael Kang serta Datuk Dr Hartini Zainudin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pasukan itu membabitkan Kementerian Kewangan, Bank Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia serta beberapa lagi kementerian berkaitan.

Beliau berkata, pasukan itu juga mengambil kira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan serta penyediaan tenaga kerja PKS.

"MPN berpandangan bahawa satu analisis lebih terperinci perlu dibuat untuk memastikan penyelesaian jangka pendek dan panjang yang lebih berfokus dapat dilaksanakan segera," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, mesyuarat MPN hari ini memfokus isu PKS dan golongan rentan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Kita membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan, terutama berhubung isu kecairan dana dan kekurangan tenaga kerja, serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan," katanya.

Beliau berkata, MPN bersetuju pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan memerlukan pendekatan seluruh negara.

"Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam hubungan ini perlu diperkasakan dengan bantuan dan kerjasama semua agensi yang terbabit dalam pemberian bantuan," katanya.

Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Berita Harian X