Jumaat, 15 Oktober 2021 | 12:57pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

TM mula pindah pelanggan Unifi ke IP peribadi

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) sudah mula memindahkan pelanggan perkhidmatan jalur lebar Unifi ke protokol internet (IP) peribadi bagi membolehkan sambungan lebih lancar dan keselamatan lebih terjamin.

TM dalam kenyataan media hari ini, berkata peralihan itu membabitkan pelanggan Unifi yang melanggan pakej 30 megabit sesaat (Mbps), 50Mbps dan 100Mbps dan kini menggunakan alamat Protokol Internet (IP) IPv4 awam yang dinamik.

Katanya, proses itu akan dilaksanakan secara jarak jauh justeru tiada sebarang tindakan perlu diambil oleh pelanggan yang terbabit dengan proses peralihan ini.

"Dengan peningkatan ketara penggunaan internet, Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) di seluruh dunia berdepan dengan kekurangan alamat IPv4 justeru TM mula memindahkan pelanggan Unifi ke IP peribadi.

"Pelanggan yang menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan IP dan pengehosan yang sudah dikenalpasti (known hosting) tidak akan terjejas kerana mereka dikecualikan daripada aktiviti peralihan ini.

"Tempoh gangguan yang minimal akibat aktiviti ini jika ada ialah sekitar dua hingga lima minit dan selepas ia selesai sepenuhnya, prestasi sambungan internet pelanggan tidak akan terjejas," katanya.

Menurut TM lagi, semua pelanggan yang terbabit akan dimaklumkan terlebih dahulu berkenaan aktiviti ini.

"Kami percaya aktiviti ini dapat memberi lebih jaminan keselamatan kepada pelanggan Unifi kami semasa mereka melayari Internet atau menggunakan alatan dan aplikasi dalam talian.

"TM sentiasa meningkatkan dan memperbaiki penawaran produk kami untuk memenuhi keperluan dan penggunaan pelanggan daripada pelbagai segmen yang sentiasa berubah," katanya.

Berita Harian X