Jumaat, 15 Oktober 2021 | 11:40am
Gambar fail, Nur Sajat atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruzzaman. - Foto Roslin Mat Tahir
Gambar fail, Nur Sajat atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruzzaman. - Foto Roslin Mat Tahir

Thailand masih 'simpan' Sajat

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu kebenaran pihak berkuasa Thailand bagi mengekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat untuk dibawa pulang ke negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat ini, pihaknya belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa berkenaan berhubung permohonan mengekstradisi usahawan itu yang dibuat sebelum ini.

"Tiada perkembangan lanjut mengenai kes itu. Kita masih tunggu jawapan daripada pihak berkuasa Thailand membabitkan proses ekstradisi usahawan berkenaan," katanya kepada BH, hari ini.

Ditanya keyakinan polis membawa pulang Nur Sajat dalam masa terdekat, Abd Jalil berkata, perkara itu bergantung kepada pihak berkuasa Thailand.

"Kita terikat dengan undang-undang negara berkenaan untuk membawa pulang usahawan itu. Maka, kita perlu tunggu perkembangan daripada mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Nur Sajat ditahan Imigresen Thailand pada 8 September lalu kira-kira jam 6 petang kerana memiliki pasport tidak sah.

Usahawan itu kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.

Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Berita Harian X