Khamis, 14 Oktober 2021 | 9:14pm
Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin. - Foto NSTP
Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin. - Foto NSTP

Badan Peguam mohon jadi sahabat mahkamah

KUALA LUMPUR: Badan Peguam mengemuka permohonan untuk menjadi amicus curiae (sahabat mahkamah) dalam prosiding kebenaran merayu membabitkan kes tunggakan cukai pendapatan, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin di Mahkamah Persekutuan.

Melalui surat bertarikh 13 Oktober lalu yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, badan itu juga memohon untuk mengikuti prosiding rayuan substantif, jika mahkamah itu membenarkan Najib dan anaknya merayu di Mahkamah Persekutuan.

Najib dan Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul ke Mahkamah Persekutuan bagi memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, berhubung pembayaran cukai berkenaan.

Dalam suratnya, Badan Peguam memohon mengikuti prosiding itu dengan alasan permohonan kebenaran difailkan Najib dan anaknya untuk merayu bagi mencabar kesahan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, menimbulkan soalan perundangan dan Perlembagaan yang unik dan penting serta berkepentingan awam.

Ini membabitkan persoalan antaranya sama ada Seksyen 106(3) akta berkenaan bertentangan Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan; dan sama ada seksyen berkenaan tidak berperlembagaan serta merampas kuasa kehakiman mahkamah yang dijamin oleh Artikel 121 Perlembagaan.

Badan itu memohon mahkamah menerima peguamnya sebagai amicus curiae untuk membentangkan hujahan, pandangan dan perspektif, bagi membantu mahkamah untuk mencapai keputusan yang sewajarnya.

Menurutnya, ia sudah berbincang dengan peguam pemohon (Najib dan Nazifudin) dan beliau tiada bantahan terhadap permohonan kebenaran representasi amicus curiae berkenaan.

"Badan Peguam Malaysia mempunyai tanggungjawab mengikut seksyen 42(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk menyatakan pendapatnya, selaras dengan kes lain yang kami memohon/dijemput sebagai amicus curiae.

"Ahli kami mewakili pembayar cukai dalam kes tuntutan sivil dan penghakiman terus. Oleh iitu, kami sedia maklum mengenai kerumitan, kesan dan implikasi yang berbangkit yang ditimbulkan oleh Seksyen 106(3) ACP secara khususnya dan bahagian VII ACP secara amnya.

"Badan Peguam Malaysia dengan hormat dan rendah diri berpendapat amat penting supaya segala isu, faktor dan hujahan undang-undang dibawa kepada perhatian Mahkamah Persekutuan dengan sepenuhnya," katanya.

Badan Peguam turut menyenaraikan cadangan lapan orang peguam yang berpengalaman dalam kes percukaian untuk mewakilinya, jika permohona itu dibenarkan oleh mahkamah.

Ia berkata, peguam amicus curiae hanya akan mengemuka hujahan, pandangan dan perspektif yang berkaitan dengan persoalan undang-undang dan tidak akan terbabit dalam isu fakta dan merit kes terbabit.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapatkan penghakiman terus, bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Sementara itu, peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin ketika dihubungi pemberita mengesahkan pihaknya menerima surat itu menerusi e-mel, hari ini.

Beliau berkata, pengurusan kes lanjut ditetapkan pada 29 Oktober ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Rasidah Roslee.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran daripada 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Berita Harian X