Khamis, 14 Oktober 2021 | 12:09pm
 Foto NSTP
Foto NSTP

Dos penggalak: KKM akan maklumkan untuk kumpulan lain

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan turut memberikan dos penggalak kepada kelompok lain selain warga emas dan barisan hadapan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata ia akan dimaklumkan selepas program itu dimulakan kepada warga emas dan barisan hadapan.

"Kami sudah memulakan program dos penggalak vaksin COVID-19, bermula dengan warga emas dan barisan hadapan.

"Kami akan memaklumkan bila kumpulan lain akan layak untuk pengambilan dos penggalak itu," katanya di Twitter.

Sebelum ini, KKM memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 keluaran Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty).

Semalam KKM mengumumkan pemberian suntikan pelalian membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan kepada kelompok penerima pertama secara percuma dan sukarela.

Pada masa sama, Khairy berkata, walaupun pemberian dos penggalak itu adalah secara sukarela namun ia amat digalakkan untuk perlindungan optimum daripada jangkitan COVID-19.

Sehingga kini, sebanyak 66.6 peratus populasi Malaysia yang berusia 12 tahun ke atas lengkap divaksinasi dengan dua dos semalam.

Peratusan itu mewakili sejumlah 21,744,866 populasi berusia 12 tahun yang lengkap divaksin, manakala 75.4 peratus atau kira-kira 24.6 juta lagi selesai mendapatkan suntikan pertama.

Ia menjadikan keseluruhan mereka yang divaksin ialah seramai 46,252,254.

Berita Harian X