Khamis, 14 Oktober 2021 | 11:08am
Kadar kemasukan ke hospital membabitkan pesakit kes COVID-19 di negara ini kini hanya tujuh peratus daripada 106,047 kes yang masih aktif di negara ini.- Foto hiasan NSTP
Kadar kemasukan ke hospital membabitkan pesakit kes COVID-19 di negara ini kini hanya tujuh peratus daripada 106,047 kes yang masih aktif di negara ini.- Foto hiasan NSTP

COVID-19: Kadar kemasukan ke hospital hanya 7 peratus

KUALA LUMPUR: Kadar kemasukan ke hospital membabitkan pesakit kes COVID-19 di negara ini hanya tujuh peratus daripada 106,047 kes yang masih aktif di negara ini, manakala sebahagian besar mereka yang terjangkit hanya menjalani kuarantin di rumah.

Berdasarkan maklumat di laman web COVIDNOW, sehingga kini seramai 7,463 pesakit virus itu mendapatkan rawatan di hospital manakala 77.9 peratus atau 82,634 menjalani kuarantin di rumah.

Ini sekali gus menunjukkan, majoriti pesakit COVID-19 di negara ini adalah berada pada kategori tidak serius berikutan sejak 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan, pesakit Tahap Satu dan Dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan.

Sementara itu, 14.4 peratus atau 15,228 daripada 106,047 kes yang masih aktif pula sedang mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Baki 0.7 peratus lagi kini mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 0.3 peratus atau 342 tidak memerlukan alat bantuan pernafasan manakala 0.4 peratus atau 380 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Semalam, sebanyak 7,950 kes COVID-19 direkodkan menjadikan kumulatif kes ialah sebanyak 2,361,529 dengan hanya satu kes kematian dicatatkan.

Kadar kemasukan harian kes COVID-19 ke hospital semalam ialah 1,653 dengan kadar penggunaan kemudahan itu ialah 70.2 peratus secara keseluruhan termasuk 47.1 peratus untuk virus berkenaan.

Semalam, sebanyak 161,231 ujian saringan dilakukan dengan kadar positif adalah sebanyak 6.6 peratus.

Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pula, sebanyak 66.6 peratus populasi Malaysia yang berusia 12 tahun ke atas lengkap divaksinasi semalam iaitu meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding hari sebelumnya.

Peratusan itu mewakili jumlah 21,744,866 populasi berusia 12 tahun yang lengkap divaksin manakala 75.4 peratus atau kira-kira 24.6 juta lagi selesai mendapatkan suntikan pertama.

Ini menjadikan keseluruhan mereka yang divaksin ialah seramai 46,252,254.

Berita Harian X