Khamis, 14 Oktober 2021 | 7:45am
Gambar fail, tinjauan aliran trafik yang bergerak lancar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya. - Foto hiasan/Danial Saad
Gambar fail, tinjauan aliran trafik yang bergerak lancar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya. - Foto hiasan/Danial Saad

KKM siap siaga hadapi risiko berlaku kenaikan kes

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersiap siaga berdepan risiko kemungkinan berlaku peningkatan kes COVID-19 susulan keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi individu lengkap divaksin bermula kelmarin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata KKM akan terus memantau corak jangkitan dan data pergerakan orang ramai dalam mengunjurkan kemungkinan berlaku penularan wabak.

Katanya, pemantauan perlu berikutan lonjakan pergerakan kenderaan merentas negeri pada hari pertama rentas negeri kelmarin, khususnya di Semenanjung dari semua arah, sama ada menuju ke utara, selatan atau ke Lembah Klang.

"Pergerakan kenderaan pada hari pertama rentas negeri dibenarkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) didapati meningkat 14 peratus secara keseluruhan.

"Pergerakan kenderaan menuju ke arah utara di Lebuhraya PLUS adalah yang tertinggi apabila mencatat peningkatan 20.5 peratus.

"Pergerakan rentas negeri ke arah selatan di Lebuhraya PLUS pula meningkat 15.4 peratus, manakala pergerakan menuju ke Lembah Klang pula meningkat 9.7 peratus," katanya menerusi Twitter, semalam.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri kepada individu lengkap divaksin berkuat kuasa kelmarin selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencecah 90 peratus.

Dengan kebenaran itu, individu yang lengkap divaksin boleh merentas negeri tanpa kebenaran polis, termasuk untuk pelancongan atau menziarahi ibu bapa di kampung.

Malah, remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak yang belum divaksin juga dibenarkan merentas negeri selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.

Khairy menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan TRIIS, iaitu test (ujian kendiri), report (lapor menerusi MySejahtera), isolate (kuarantin atau pengasingan kendiri), inform (memaklumkan kepada kontrak rapat jika ujian didapati positif) dan seek (dapatkan rawatan segera) bagi mengawal penularan COVID-19.

Beliau turut mengingatkan semua operator lebuh raya untuk memastikan sistem pengudaraan yang baik dan penjarakan fizikal dilaksanakan di lokasi berisiko tinggi di semua pusat Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya.

"Pihak lebuh raya perlu bersedia untuk menerima jumlah kenderaan tinggi, yang dijangka akan berlaku hujung minggu ini, iaitu hujung minggu pertama selepas rentas negeri dibenarkan.

"Pemegang konsesi lebuh raya juga diingatkan memastikan lokasi berisiko tinggi seperti surau R&R memiliki aliran udara yang baik dan ditanda untuk penjarakan fizikal sebelum aktiviti rentas negeri beramai-ramai yang dijangka hujung minggu ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan rakyat tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan kerajaan, kerana masih tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Katanya, untuk memastikan SOP ditetapkan terus dipatuhi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Ini termasuklah pemeriksaan secara rawak mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 1988 (Akta 342) menerusi sekatan jalan raya (SJR) bergerak, pemeriksaan mengejut dan pemantauan di R&R serta SJR di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Gambar Fail, Anggota Polis Memeriksa Kemasukan Kenderaan Ke Kelantan Meningkat Sebanyak 20 Peratus Hari Ini Yang Datang Dari Lembah Klang, Pantai Timur Dan Utara Tanah Air Di Sekatan Jallan Raya (Sjr) Bukit Yong Di Pasir Puteh. - Foto Hiasan/Nik Abdullah Nik Omar
Gambar Fail, Anggota Polis Memeriksa Kemasukan Kenderaan Ke Kelantan Meningkat Sebanyak 20 Peratus Hari Ini Yang Datang Dari Lembah Klang, Pantai Timur Dan Utara Tanah Air Di Sekatan Jallan Raya (Sjr) Bukit Yong Di Pasir Puteh. - Foto Hiasan/Nik Abdullah Nik Omar

"Pertama, saya nak tekankan di sini bahawa jangan kita bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran diberikan.

"Keduanya, kebenaran yang diumumkan bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.

"Dalam mesyuarat (Menteri Kuartet COVID-19) tadi (semalam), kita telah mendapat laporan dan juga berbincang dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM... mereka memberi jaminan pemantauan dan penguatkuasaan SOP sedia ada akan diteruskan," katanya pada sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 di Dewan Rakyat, semalam.

Selain Hishammuddin, tiga lagi Menteri dalam Kuartet itu ialah Khairy; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk mewajibkan saringan COVID-19 sebelum merentas negeri, Hishammuddin berkata ia mustahil dilaksanakan.

"Namun, jika ada sebarang gejala, tangguhlah dahulu perjalanan. Sebaiknya lakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan dan sebelum pulang semula ke negeri bermastautin," katanya.

Hishammuddin berkata, rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk untuk melancong masih perlu menjalani kuarantin apabila pulang.

"Sekalipun rentas negeri dan perjalanan ke luar negara dibenarkan, SOP tetap berkuat kuasa. Semua pihak perlu patuh kepada semua peraturan demi kebaikan diri sendiri dan orang sekeliling," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang menyenaraikan negara dibenar dan dilarang, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan itu, namun perlu ditentukan KKM.

Dalam pada itu, sebanyak 7,276 kes baharu COVID-19 dilaporkan Isnin lalu, berbanding 6,709 kes yang direkodkan pada Ahad.

Tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan 2,353,579 kes COVID-19 di Malaysia, setakat ini.

Berita Harian X