Rabu, 13 Oktober 2021 | 10:56pm

'Selesaikan projek perumahan mampu milik terbengkalai'

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyediakan peruntukan khas dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) khusus bagi menyelesaikan isu projek perumahan mampu milik yang terbengkalai di seluruh negara.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee berkata, isu itu masih membelenggu rakyat hingga kini, terutama golongan belia yang terpaksa menanggung pembayaran balik pinjaman bank setiap bulan, sedangkan projek berkenaan sudah terbengkalai melebihi 10 tahun.

"Saya ingin menyeru kerajaan supaya memberi perhatian kepada projek perumahan mampu milik yang terbengkalai sejak dulu hingga kini.

"Sebagai contoh, projek perumahan terbengkalai sejak 15 tahun lalu di Taman Sri Molek Perdana, Johor Bahru, membabitkan kira-kira 1,000 pembeli.

"Adakah Kerajaan Persekutuan dan negeri bekerjasama mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini? Pembeli yang menjadi mangsa terpaksa membayar balik pinjaman secara bulanan untuk rumah tidak siap. Adakah ia adil kepada golongan ini?

"Mahukah kerajaan melalui RMK-12, menyediakan peruntukan bagi menyelamatkan projek terbengkalai di seluruh negara demi kebaikan rakyat?" katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik perancangan kerajaan untuk membina 500,000 rumah mampu milik dalam RMK-12, namun menzahirkan kebimbangan jika ia tidak mampu dimiliki kebanyakan golongan B40 dan M40 yang sukar mendapat pinjaman bank.

"Di samping menambah bilangan rumah mampu milik, diharapkan kerajaan dapat membantu rakyat khususnya golongan belia yang baru bekerja, untuk mendapatkan pinjaman rumah.

"Mereka menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pinjaman bank. Tanpa kelulusan itu, mereka terpaksa menolak tawaran rumah mampu milik yang diterima," katanya.

Sementara itu, Datuk Isa Ab Hamid pula menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada projek infrastruktur jalan raya dan pendidikan untuk masyarakat Orang Asli, sepanjang tempoh lima tahun RMK-12.

Beliau berkata, projek jalan raya bagi menghubungkan kampung Orang Asli, khususnya di pedalaman ke kawasan pekan dan bandar, akan memberi kesan berganda kepada ekonomi kaum itu.

Katanya, 36.1 peratus atau 308 kampung Orang Asli masih dalam lokaliti pedalaman, dengan 41.4 peratus kampung masih mundur, 52.4 peratus kampung bertaraf sederhana dan hanya enam peratus kampung dikategorikan sebagai maju.

"Dalam keadaan jalan sekarang, anak-anak Orang Asli terpaksa ke sekolah seawal jam 5 pagi dengan berhimpit menaiki kenderaan pacuan empat roda, seolah-olah hendak diseludup ke luar negara," katanya.

Berita Harian X