Rabu, 13 Oktober 2021 | 6:12pm
Gambar hiasan - NSTP/MIKAIL ONG
Gambar hiasan - NSTP/MIKAIL ONG

Kerajaan komited lindungi sumber manusia

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited melindungi sumber manusia berpaksikan prinsip Inklusiviti dan Budaya Kerja Selamat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pada peringkat nasional, pelaksanaan strategi jangka panjang sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) ternyata selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2006.

"Antara inisiatif penting diperkenal bagi meningkatkan sistem pengurusan KKP ialah Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2019 serta Sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

"Bagi mendepani cabaran, Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah merangka Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25)," katanya ketika berucap melancarkan OSHMP25 secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) susulan kejayaan menghasilkan OSHMP25.

Beliau berkata, KSM melalui MNKKP dan JKKP telah menghasilkan dokumen lengkap serta komprehensif dalam memantapkan KKP di negara ini.

"Setiap daripada kita perlu melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan pelan induk ini, selaras tema OSHMP25: KKP Inklusif-Kebersamaan dan Komitmen.

"Komitmen semua pihak, termasuk kerajaan, majikan dan pekerja, sangat diharap bagi memastikan misi memartabatkan KKP di negara ini terlaksana dengan jayanya," katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pula berkata OSHMP2025 mengetengahkan tujuh teras strategik ke arah pembentukan budaya kerja yang selamat serta sihat.

Katanya, pelaksanaan itu secara tidak langsung akan memperkukuh hubungan strategik pemegang taruh dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Beliau berkata, setiap teras strategik bawah OSHMP2025 dirangka dengan teliti bagi menyokong asas serta hala tuju aktiviti pembangunan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

"Pelan induk ini adalah dokumen yang menterjemahkan komitmen serta hala tuju keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya yakin dan percaya bahawa dengan komitmen serta iltizam tinggi, kita semua akan dapat mentransformasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini bagi memperkukuh 'Budaya Kerja Selamat dan Sihat' dalam kalangan majikan dan pekerja," katanya.

Berita Harian X