Rabu, 13 Oktober 2021 | 4:59pm
Sebahagian jemaah umrah sebelum menaiki pesawat ketika majlis pelepasan kumpulan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Sebahagian jemaah umrah sebelum menaiki pesawat ketika majlis pelepasan kumpulan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Gembira dapat tunai umrah

PUTRAJAYA: Terkejut dan sebak. Itu yang dapat digambarkan oleh Hasmadi Munap, 46, apabila menerima panggilan telefon yang memaklumkan dipilih untuk menunaikan umrah pada tahun ini.

Hasmadi adalah kumpulan pertama di negara ini yang dibenarkan mengerjakan umrah selepas pintu sempadan mula dibuka, kelmarin.

Menceritakan mengenai detik itu, Hasmadi yang menetap di Melaka berkata beliau pada mulanya hanya mencuba nasib memberi namanya menerusi mesej di laman Facebook syarikat penganjur umrah berkenaan.

"Saya saja mencuba nasib, walaupun pada ketika itu pintu sempadan belum dibuka. Namun kelmarin, ketika sedang berniaga saya menerima panggilan telefon daripada pihak syarikat yang memaklumkan terpilih untuk menunaikan umrah.

"Perasaan sebak itu tidak dapat digambarkan, terkejut semua ada, dengan pasport sudah tamat tempoh. Boleh dikatakan sangat kelam kabut untuk mempersiapkan segala barangan, namun rasa seperti Allah betul-betul memanggil saya untuk menunaikan umrah.

"Walaupun ini bukan kali pertama pergi ke Tanah Suci itu, tetap saya teruja untuk ke sana, terutamanya dalam keadaan norma baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelepasan 11 jemaah umrah kumpulan pertama seliaan syarikat berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan hanya individu yang sudah lengkap divaksin yang diluluskan negara itu, dibenarkan menunaikan umrah dan melawat Masjidilharam dan Masjid Nabawi, berkuat kuasa 10 Oktober lalu.

Kementerian itu juga membenarkan mereka yang disahkan diberi pengecualian daripada mengambil vaksin mengikut aplikasi Tawakkalna, juga dibenarkan melawat dua masjid suci di Makkah dan Madinah.

Antara vaksin COVID-19 yang diterima oleh Kerajaan Arab Saudi ialah Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson dan Moderna.

Bagi penerima vaksin Sinovac, mereka perlu mendapatkan dos penggalak terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk mengerjakan umrah.

Sementara itu, Noryanie Ramli, 40, berkata walaupun terdapat pertambahan harga bagi mengerjakan umrah, apa yang penting baginya ialah dapat pergi ke Tanah Suci kerana itu yang diimpikan sejak sekian lama.

"Saya dah daftar dengan agensi ini sudah lama, namun disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara, perjalanan untuk ke sana terpaksa ditunda hampir dua tahun.

"Selepas terbaca mengenai pemakluman di Facebook, saya tak fikir panjang dan terus memberikan nama kepada pihak agensi.

"Mengenai kenaikan harga pakej, memang terdapat peningkatan namun kita faham dengan segala prosedur operasi standard (SOP) dan ketetapan yang perlu dipatuhi sehingga menyebabkan kos nya terpaksa dinaikkan," katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Berita Harian X