Rabu, 13 Oktober 2021 | 4:27pm
Seorang anggota tentera maut dipercayai menembak dirinya selepas dia dikatakan mengamuk dengan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senjata dipercayai Colt M4 Carbine. - Foto hiasan
Seorang anggota tentera maut dipercayai menembak dirinya selepas dia dikatakan mengamuk dengan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senjata dipercayai Colt M4 Carbine. - Foto hiasan

Askar mengamuk maut tembak diri

KUCHING: Seorang anggota tentera maut dipercayai menembak dirinya selepas dia dikatakan mengamuk dengan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senjata dipercayai Colt M4 Carbine yang turut mencederakan ibu mentuanya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah di Jalan Matang, di sini, tengah hari tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek berusia 20-an itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

"Ya, ...kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi dan siasatan kini sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Difahamkan, suspek bertugas di kem tentera di Tondong, Bau.

Dia yang berseragam lengkap dan membawa senjata api itu dikatakan balik ke rumah mentuanya tengah hari tadi.

Menurut sumber, setibanya di tempat kejadian dia tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan secara rambang sebelum dia menembak kepalanya sendiri.

Tembakan itu turut terkena bahu kira ibu mentuanya yang berusia lingkungan 50-an. Wanita itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Setakat jam 5.40 petang, polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.

Berita Harian X