Rabu, 13 Oktober 2021 | 3:54pm
(Gambar fail) Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan. - FOTO BERNAMA

7 teras strategik bentuk budaya kerja selamat, sihat

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP2025) mengetengahkan tujuh teras strategik ke arah pembentukan budaya kerja yang selamat serta sihat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata pelaksanaannya secara tidak langsung akan memperkukuh hubungan strategik pemegang taruh dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Beliau berkata, setiap teras strategik bawah OSHMP2025 dirangka dengan teliti bagi menyokong asas serta hala tuju aktiviti pembangunan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

"Pelan induk ini adalah dokumen yang menterjemahkan komitmen serta hala tuju keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya yakin dan percaya bahawa dengan komitmen serta iltizam tinggi, kita semua akan dapat mentransformasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini bagi memperkukuh 'Budaya Kerja Selamat dan Sihat' dalam kalangan majikan dan pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran OSHMP2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Awang Hashim, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Berita Harian X