Rabu, 13 Oktober 2021 | 10:36am
Sebanyak 66.1 peratus populasi rakyat Malaysia yang berusia 12 tahun ke atas atau mewakili jumlah lebih 21.5 juta, lengkap divaksin sehingga semalam. - Foto hiasan
Sebanyak 66.1 peratus populasi rakyat Malaysia yang berusia 12 tahun ke atas atau mewakili jumlah lebih 21.5 juta, lengkap divaksin sehingga semalam. - Foto hiasan

66.1 peratus populasi lengkap divaksin

KUALA LUMPUR: Sebanyak 66.1 peratus populasi rakyat Malaysia yang berusia 12 tahun ke atas atau mewakili jumlah lebih 21.5 juta, lengkap divaksin sehingga semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, populasi yang menerima satu dos pula adalah 75.2 peratus atau kira-kira 24.5 juta.

Semalam, kadar pemberian harian vaksin bagi dos kedua adalah sebanyak 153,736 manakala bagi dos pertama ialah 55,798.

Ia menjadikan keseluruhan populasi yang berusia 12 tahun ke atas menerima vaksin di negara ini ialah kira-kira 46 juta manakala 24.8 peratus lagi belum divaksin.

Sementara itu, kadar penggunaan katil hospital akibat COVID-19 ialah sebanyak 69.3 peratus membabitkan 1,757 kemasukan harian semalam, unit rawatan rapi (ICU) 62 peratus dengan 722 pesakit aktif, alat bantuan pernafasan (40.8 peratus) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19

Berisiko Rendah (PKRC) ialah 49 peratus.

Semalam, sebanyak 103 kematian direkodkan termasuk 26 kematian di luar hospital (BID) daripada 7,276 kes COVID-19 yang direkodkan manakala 10,555 kes lagi direkodkan sembuh.

Sehingga kini, daripada 108,997 kes COVID-19 yang aktif, sebahagian besar pesakit iaitu 78.3 peratus atau 85,383 menjalani kuarantin di rumah, dan 14.1 peratus atau 15,387 di PKRC.

Hanya 6.9 peratus atau 7,505 pesakit yang dimasukkan ke hospital, 0.4 peratus atau 386 pula dimasukkan ke ICU dengan alat bantuan pernafasan dan 0.3 peratus (336) tanpa alat bantuan pernafasan.

Berita Harian X