Selasa, 12 Oktober 2021 | 11:10am
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

ASEAN bincang pendirian kerjasama 3 hala dengan UK, AS, Australia

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) bulan depan dijangka membincangkan dan menyimpulkan pendirian pertubuhan negara serantau Asia Tenggara berhubung kerjasama tiga hala Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau (AUKUS).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mesyuarat membabitkan 10 menteri pertahanan negara ASEAN dan dipengerusikan Brunei itu diharap dapat mencari persefahaman serantau terhadap isu AUKUS.

"Bulan depan ada ADMM dipengerusikan Brunei dan ini menjadi platform penting mengukuhkan kerjasama pertahanan di peringkat serantau. Pada masa sama, saya pasti AUKUS akan dibincangkan dengan harapan ia dapat mengukuhkan kesefahaman antara anggota ASEAN dalam pendirian terhadap perkara ini.

"Jadi, usaha secara dua hala telahpun saya usahakan dan akan berterusan, tetapi kita berpeluang pada ADMM di mana 10 menteri pertahanan ini akan berkumpul dan memikirkan kalau kita dapat bersetuju kepada satu pendirian bersama," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) sama ada Malaysia akan memanfaatkan kerjasama pertahanan di peringkat ASEAN berhubung isu AUKUS.

Selain Malaysia dan Brunei, negara anggota ASEAN yang lain ialah Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Menjawab soalan asal Mohd Nizar yang meminta kerajaan menyatakan pendirian terkini berhubung isu terbabit, Hishammuddin menegaskan, Malaysia tidak berganjak dan konsisten bahawa pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran kerana ia berpotensi menggugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

"Pendirian ini tidak berganjak walaupun selepas saya bertemu Utusan Khas Australia, Vice Admiral David Johnston baru-baru ini dan sebelum itu saya juga mengadakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton.

"Dalam kedua-dua perbincangan ini, saya menegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitik pertimbangan kuasa-kuasa besar," katanya.

Tegasnya, Malaysia memegang prinsip mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

"Australia harus hormati prinsip ini dan hormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia, termasuk di bawah 'United Nations Convention on the Law of the Sea' (UNCLOS) dan 'Southeast Asian Nuclear-Weapon-Free Zone Treaty' (SEANWFZ).

"Saya juga memaklumkan kepada mereka, sekiranya kapal perang atau kapal selam berkuasa nuklear memasuki wilayah perairan dan berhasrat memasuki pelabuhan Malaysia atau mahu melaksanakan latihan ketenteraan bersama Malaysia, persetujuan khas daripada Malaysia mestilah terlebih dahulu diperoleh yang mana ia akan dipertimbangkan secara kes demi kes," katanya.

Berita Harian X