Isnin, 11 Oktober 2021 | 4:06pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Dos penggalak berkesan lawan jangkitan

KUALA LUMPUR: Dos penggalak vaksin COVID-19 dilihat mempamerkan kualiti, keselamatan dan keberkesanan melawan jangkitan, selain mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital.

Walaupun data klinikal diperoleh belum komprehensif, dos penggalak boleh digunakan terhadap golongan sasar yang berisiko tinggi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon, berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang mengeluarkan kelulusan bersyarat penggunaan dos penggalak vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer, adalah sama seperti konsep di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

"Kelulusan bersyarat ini digunakan bagi tujuan kecemasan dengan jutaan data klinikal sudah diperoleh tetapi belum komprehensif.

"Bagaimanapun, maklumat awal menunjukkan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dengan manfaat yang jauh lebih tinggi berbanding risiko.

"Kita dapat melihat perubahan positif di Malaysia dengan angka kes harian berkurangan, peratusan penduduk melengkapkan dos vaksin meningkat manakala kemasukan ke hospital dan kematian turut menyusut," katanya kepada BH, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini dilaporkan berkata, vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer Manufacturing Belgium (NV) dan Biontech Manufacturing GmbH, Germany akan diberi sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua kepada individu berusia 18 tahun ke atas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, turut mengumumkan KKM bersedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang awam dalam tempoh terdekat.

Mengenai keperluan pemberian dos penggalak, Dr Rohaizat berkata, ia tidak akan menandingi pemberian dua dos vaksin wabak itu yang masih menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha menangani jangkitan COVID-19.

Katanya, keutamaan ketika ini ialah bagi penduduk dewasa menerima suntikan dua dos vaksin dan proses vaksinasi pelajar.

"Tumpuan pada masa ini ialah negeri dan kelompok masyarakat tertentu yang masih merekodkan kes harian tinggi serta kadar vaksinasi rendah berbanding negeri atau kelompok masyarakat lain," katanya.

Beliau menjelaskan, dos penggalak disyor apabila tindak balas imuniti menurun dalam tempoh tertentu seperti enam bulan, terutama bagi kumpulan rentan berisiko tinggi seperti warga emas, penghuni rumah orang tua, anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan serta individu yang mempunyai penyakit kronik berbilang.

Mengenai pemberian dos penggalak di peringkat global, Dr Rohaizat berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta negara maju membantu negara membangun yang mana masih ramai rakyat tidak menerima vaksin.

"Pemberian dos penggalak dalam kalangan negara maju akan meningkatkan jurang penerimaan vaksin dalam kalangan penduduk dunia di negara lain yang amat memerlukan vaksin itu.

"Dunia tidak akan bebas daripada COVID-19 sekiranya masih ramai yang belum mendapat suntikan vaksin, justeru pemberian dos penggalak mesti dilakukan ke atas kumpulan sasar," katanya.

Berita Harian X