Ahad, 10 Oktober 2021 | 10:26am

PRN Melaka: Pintu rundingan BERSATU sentiasa terbuka

ALOR GAJAH: BERSATU sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ini kerana BERSATU mengamalkan politik mesra, kasih sayang dan tidak bermusuh dengan sesiapa, khususnya rakan parti lain yang memperjuangkan wadah sama.

"Kita tidak mahu bergaduh dengan orang. Kalau orang bergaduh dengan kita pun, kita maafkan dan nak berbaik dengan sesiapa juga tapi jangan sampai merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

"Saya yakin kalau kita buat sesuatu yang baik (tetapi) orang tidak bersama dengan kita, Allah pasti akan buka hati mereka untuk bersama dengan kami yang benar-benar ikhlas nak bekerja untuk rakyat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad dan EXCO NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan menolak kerjasama dengan BERSATU dalam menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, difahamkan pucuk kepemimpinan UMNO masih belum membincangkan mengenai cadangan kerjasama berkenaan.

Mengulas isu yang sama, Ahmad Faizal berkata, penolakan kerjasama antara UMNO dan BERSATU itu bukan diputuskan oleh majoriti pemimpin parti itu, sebaliknya hanya dicadangkan oleh beberapa pemimpin sahaja.

"Kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukannya pandangan majoriti parti yang mereka wakili.

"Saya percaya masyarakat, terutama orang Melayu sangat berharap dan mendoakan orang politik tidak bergaduh dan bercakaran sesama sendiri.

"Sebaliknya mengerat dan merapatkan saf dan pada masa sama mementingkan rakyat lebih daripada kepentingan diri, kumpulan atau parti yang mereka wakili," katanya.

Timbalan Presiden BERSATU merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah hari ini. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad
Timbalan Presiden BERSATU merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah hari ini. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad
Berita Harian X