Sabtu, 9 Oktober 2021 | 3:42pm

8,743 kes baharu COVID-19 hari ini

KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 di Malaysia kembali mencatat penurunan apabila merekodkan sejumlah 8,743 jangkitan baharu hari ini.

Jumlah itu menurun lebih 10 peratus berbanding 9,751 kes yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan pertambahan lebih 8,000 kes baharu itu melonjakkan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 yang direkodkan di negara ini meningkat kepada 2,332,221 kes.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 8,729 kes membabitkan penularan tempatan, dan baki 14 lagi kes import.

Selain itu, beliau berkata, 14,422 pesakit sembuh direkodkan setakat 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kepada 2,184,711 pesakit atau 93.7 peratus daripada keseluruhan jangkitan.

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 770 kes, merangkumi 714 kes COVID-19 serta 56 kes disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula berjumlah 419 kes, merangkumi 304 kes COVID-19 serta 115 kes disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 10 kluster baharu direkodkan menjadikan 5,580 kluster keseluruhan direkodkan, dengan 845 kluster aktif.

Katanya, kluster baharu itu dikesan di tujuh negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Pahang, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang, membabitkan empat kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 8,743 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, 122 kes atau 1.4 peratus kategori tiga, empat dan lima.

"Baki 8,621 kes atau 98.6 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kaedah pelaporan dan perincian data COVID-19 akan lebih fokus kepada indikator penting dan utama, selaras persediaan Malaysia bergerak ke arah fasa hidup bersama virus itu.

"Maklumat terperinci situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

 Foto NSTP/Danial Saad
Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X