Sabtu, 9 Oktober 2021 | 2:58pm
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyampaikan bakul makanan kepada penghantar makanan p-hailing di Dewan Gemilang Yong Peng, dekat sini - Foto NSTP/Essa Abu Yamin
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyampaikan bakul makanan kepada penghantar makanan p-hailing di Dewan Gemilang Yong Peng, dekat sini - Foto NSTP/Essa Abu Yamin

Bantu penunggang p-hailing dapatkan lesen

BATU PAHAT: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membantu penunggang p-hailing mendapatkan lesen memandu bagi memudahkan mereka mencari rezeki terutama membabitkan golongan B40.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata poihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dalam usaha itu.

Katanya, ia bagi memudahkan golongan muda terutamanya golongan B40 berikutan peratusan kesalahan tiada lesen memandu yang tinggi dikeluarkan kepada mereka.

"Kita lihat golongan muda yang baru sahaja selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mencari pekerjaan dan ada antara mereka mahu ke institut memandu untuk belajar memandu dan kita mahu wujudkan satu kaedah membantu mereka.

"Jadi itu dalam perancangan dan percaturan kita dan itu kita sudah bangkitkan bersama MOF dalam peruntukan Belanjawan 2022," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan kepada penghantar makanan P-Hailing di Dewan Gemilang Yong Peng, hari ini.

Menurut beliau, pemandu terutamanya mereka daripada golongan B40 yang berdepan kes tertentu melibatkan tunggakan saman yang banyak boleh mendapatkan potongan harga melalui MOT.

"Pihak MOT juga akan mengenakan tindakan tegas kepada kepada penunggang dan syarikat pengendali p-hailing yang melanggar undang-undang terutama melibatkan lesen memandu," katanya.

Sementara itu, seramai 65 penghantar makanan menerima bakul makanan dalam program berkenaan membabitkan penghantar makanan yang aktif di sekitar Yong Peng dan Ayer Hitam.

Berita Harian X